20120409

DI SEBALIK WUDHUK DAN JARI JEMARI

 
Di dalam kehidupan seharian kita, pasti akan ada kesilapan yang kita lakukan baik yang sengaja mahupun yang tidak sengaja. Hal ini kerana kita dijadikan oleh Allah swt dalam keadaan lemah seperti firman Allah swt yang bermaksud:
“Kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah” (An-nisa:28)

Ayat ini adalah bukti yang sangat jelas bahawa setiap manusia pasti ada kesilapan dalam kehidupannya. Justeru itu, Allah swt telah menyediakan beberapa kaedah untuk menghapuskan dosa dan noda tersebut daripada bersarang di dalam hati mengikut apa yang telah diajar sendiri oleh pesuruhnya iaitu Rasulullah saw, kerana kita perlu tahu bahawa dosa dan noda akan menggelapkan hati kita daripada kebenaran, maka kita akan dapati di sana beberapa kegagalan yang terpaksa kita hadapinya disebabkan dosa dan noda tadi.

 
Dalam beberapa kaedah yang telah disediakan oleh Allah swt untuk membersihkan diri kita daripada dosa salah satunya ialah mengambil wuduk dengan sempurna. Ini telah dinyatakan sendiri di dalam hadis Nabi saw daripada Uthman Bin Affan r.a. yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengambil wuduk dan dia menyempurnakannya dengan baik, digugurkan dosa-dosa daripada jasadnya sehingga keluar daripada jari-jarinya”. (Riwayat Muslim)
Juga daripada hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Apabila berwuduk seorang mukmin, maka dia membasuh mukanya, keluar dosa daripada wajahnya setiap kesalahan yang dilihat dengan matanya bersama air basuhan atau titisan air, maka apabila dia membasuh kedua-dua tangannya, keluar dosa daripada kedua tangannya setiap kesalahan yang dilakukan dengan tangannya bersama air basuhan atau titisan air sehinggalah bersih dan suci daripada dosa-dosa (kecil)”. (Riwayat Muslim (23) dalam bab Taharoh)
Berdasarkan hadis-hadis tadi telah membuktikan bahawa maha rahmatnya Allah swt terhadap hamba-hambanya yang berdosa, mungkin bagi kita perbuatan itu nampak kecil sehingga kita mengamalkannya sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh, tetapi bagi Allah swt ianya sangat besar. Ini belum lagi dikira amalan-amalan yang lain seperti solat, bercakap perkataan yang baik, membantu ibu bapa, belajar bersungguh-sungguh, dan sebagainya, maka berapa banyak kebaikan yang kita telah perolehi di samping menghapuskan kesalahan kita sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:
“Sesungguhnya amal-amal kebaikan itu dapat menghapuskan kejahatan” (Hud:114)
Tetapi kita perlu ingat bahawa dosa-dosa besar hanya akan dihapuskan dengan solat taubat dan beberapa syarat yang lain, begitu juga dengan kesalahan yang kita buat kepada individu yang lain, maka wajib bagi kita untuk meminta maaf darinya. Kadang-kadang saya hairan melihat segelintir masyarakat, apabila mereka ingin mendekatkan diri kepada Allah swt, ada sahaja amalan lain yang tidak diajar oleh Nabi saw menjadi amalannya dengan bersungguh-sungguh, walhal perkara itu sangat dilarang oleh agama yang suci ini. Sedangkan dalam masa yang sama solatnya masih lagi compang-camping, wuduknya masih tidak sempurna, dan amalan-amalan ma’thur yang lain.

 
Maka kita perlu sedar bahawa amalan fardu ain dan amalan-amalan sunat yang menjadi amalan seharian kita sudah cukup untuk kita memperoleh fadilat dan ganjaran yang sangat besar, tetapi dengan syarat kita melaksanakannya dengan tepat dan benar seperti apa yang diajar oleh baginda saw. Perlu dimuhasabahkan bahawa Allah swt tidak melihat kepada kuantiti ibadah kita, tetapi yang dilihat adalah kualiti dan istiqomah ibadah kita seperti firman Allah swt yang bermaksud:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. (Al-mulk:2)
Selain itu juga, falsafah daripada pengambilan wuduk ini jelas membuktikan bahawa agama Islam sangat menitik beratkan konsep kebersihan diri dalam kehidupan individu Muslim, apatah lagi kebersihan di tempat yang didiaminya. Tetapi malangnya, kebanyakan orang bukan Islam mempraktikkan kebersihan diri dan sekitarnya dengan begitu tekun dan bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan huraikan beberapa ciri dan kriteria yang perlu kita laksanakan sejurus untuk mendapatkan fadilat-fadilat wuduk dengan sempurna bersama dalil-dalilnya.

 
Apakah fardu-fardu wuduk berdasarkan dalil Al-Quran dan Sunnah?:
1. Niat dalam hati.
Niat adalah keazaman di dalam hati kita dengan bersungguh-sungguh untuk mengambil wuduk hanya kerana patuh dan taat kepada Allah swt. Niat adalah wajib dilaksanakan pada setiap amalan yang wajib, tanpanya tidak sah ibadah seperti mana hadis yang diriwayatkan Umar bin Khattab r.a. bahawa Nabi saw bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”. (Riwayat Bukhari 1/3 No 1, dan Muslim 13/53 no 1907)
Niat boleh dilakukan dengan salah satu dari tiga bentuk, seperti menyebutkan dalam hati: “Aku berniat mengangkat hadas”. Atau: “Aku berniat membolehkan (Istibahah) sembahyang, atau tawaf, atau menyentuh mushaf”. Atau: “Aku berniat menunaikan fardu wuduk”.

 
2. Membasuh wajah daripada bahagian dahi yang paling atas sehingga ke bawah dagu dan daripada anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri, kawasan itu wajib dibasuh dengan air wuduk. Firman Allah swt:
“Maka basuhlah muka kamu”.

3. Membasuh dua tangan hingga ke siku berdasarkan firman Allah swt:

“Dan kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku”.
Wajib sampai air pada kedua-dua belah tangan dari jari-jari, tapak tangan dan lengan, seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. pada sifat wuduk Nabi saw:

Bahawa beliau berwuduk lalu membasuh mukanya, kemudian membasuh tangan kanannya sehingga ke paras siku, selepas itu beliau membasuh tangan kirinya, kemudian menyapu kepalanya, kemudian membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali, kemudian membasuh kaki kiri ke paras buku lali, kemudian berkata: “Demikianlah aku melihat Rasulullah saw berwuduk” (Muslim 3/134 No 246)

Jika seseorang mempunyai jari yang lebih wajib dibasuh sebagai langkah berhati-hati dalam ibadah, dan sekiranya tangan berlubang wajib dibasuh batinnya, kerana ia telah menjadi zahir. (Kitab Majmu’ 1/417)
Sekiranya tidak mampu untuk mengambil wuduk sendiri, maka dibolehkan untuk mencari orang lain mewudukkannya secara sukarela atau dengan upah.

 
4. Menyapu sebahagian kepala berdasarkan firman Allah swt:
“Dan sapulah sebahagian dari kepala kamu”
Sapu sebahagian kepala sekurang-kurangnya lalukan pada ubun-ubun kita (iaitu bahagian depan kepala), Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Al-Mughiroh bin Syu’bah r.a. :
Bahawa Rasulullah saw berwuduk, dan menyapu ubun-ubunnya”. (Muslim 3/174 No274)
dan dalam satu riwayat lain:
“Bahagian depan kepalanya” (Sahih Muslim 1/173 No274)
Bagi wanita yang sukar untuk membuka tudung ketika mengambil wuduk, maka dia boleh memasukkan tangan di bawah tudungnya sehingga terjadi sapuan itu atas rambut atau ubun-ubunnya sama juga bagi lelaki yang memakai kopiyah atau serban. (Majmu’ 1/430).

 
5.   Membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali berdasarkan firman Allah swt:
“Dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali”.
Wajib meratakan air ke seluruh kaki sehingga tidak tertinggal daripadanya satu tempat walaupun sebesar kuku, atau celah atau, juga wajib memperhatikan buku lali sekiranya tidak sampai air berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah saw melihat satu kaum berwuduk dan tumit-tumit mereka tidak terkena air, lalu Baginda bersabda:
Celakalah tumit-tumit yang tidak basah itu dengan ancaman api neraka”. (Bukhari 1/73 No163 dan Muslim 3/128 No242)
Dari Umar bin Khattab r.a.: Bahawa seorang lelaki berwuduk lalu tertinggal sebesar kuku pada kakinya tidak terkena air, maka Nabi saw melihatnya lalu bersabda:
“Kembalilah lalu perbaiki wuduk kamu” lalu dia pun kembali dan menyempurnakan wuduknya kemudian sembahyang. (Muslim 3/132 No243)
Di sini kita perlu ingat bahawa hadis ini meliputi seluruh kawasan fardu wuduk, jika tidak terkena air pada kawasan tersebut, maka tidak sah wuduknya.

 
6. Tertib. Wajib disempurnakan wuduk dengan tertib berdasarkan ayat 6 daripada surah Al-Maidah.

Apakah amalan-amalan sunat ketika berwuduk?:
1. Membaca Bismillah pada awalnya. Fadhilat ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. katanya: Sebahagian sahabat Nabi saw mencari air untuk berwuduk lalu mereka tidak mendapat air, lalu Rasulullah saw bertanya:
Adakah seseorang dari kamu memiliki air?” lalu didatangkan air, kemudian baginda memasukkan tangannya dalam bekas yang berisi air itu lalu bersabda:”Berwuduklah kamu dengan menyebut nama Allah (bermaksud memulainya dengan membaca bismillah)”. Anas r.a. berkata: Aku melihat air itu mengalir di celah-celah jarinya, sehingga mereka berwuduk dan mereka ada dalam sekitar tujuh puluh orang. (Diriwayatkan oleh An-Nasai dengan sanad jayyid 1/53, dan Imam Ahamd 3/165).
Di antara mukjizat Nabi saw. Hadis di atas tidak membawa maksud suruhan wajib, ini telah dibuktikan daripada hadis Nabi saw:
“Sesiapa yang berwuduk dan tidak menyebut nama Allah maka dia suci bagi apa yang terkena air”. (Riwayat Ad-daruqutni 1/74 dan disahihkan oleh Al-hakim 1/146).
2. Membasuh kedua belah tangan dahulu sebelum mengambil wuduk sebanyak tiga kali.
Ini berdasarkan hadis Nabi saw bersabda:
“Apabila salah seorang di antara kamu bangkit dari tidurnya, janganlah dia mencelupkan tangannya ke dalam air sebelum membasuhnya terlebih dahulu sebanyak tiga kali kerana dia tidak tahu di manakah tangannya diletakkan ketika tidur”. (Bukhari 1/72 No160 dan Muslim 3/178)
Juga hadis Abdullah bin Zaid r.a. ketika ditanya mengenai wuduk Nabi saw, maka beliau meminta sebekas air lalu berwuduk untuk menunjukkan kepada mereka cara wuduk Nabi saw, beliau menuangkan sedikit air ke atas tapak tangannya dan membasuhnya sebanyak tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas itu. (Bukhari 1/80 No189 dan Muslim 3/121 No235).

3. Menggunakan siwak atau memberus gigi, ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bersabda:
“Sekiranya arahan aku tidak akan menyusahkan ke atas umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka bersugi iaitu mencuci gigi setiap kali hendak mendirikan sembahyang”, dalam riwayat Ahmad dan Bukhari meriwayatkannya Ta’liq dengan sighah jazam iaitu nescaya aku memerintahkan mereka bersugi setiap kali hendak berwuduk”. (Bukhari 1/303 No847, Muslim 3/141 No252, Ahmad 6/325)
Hadis ini membuktikan bahawa suruhan ini membawa kepada sunat Muakkad (sangat-sangat dituntut).

4. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bersabda:
“Tidak ada seseorang kamu yang berwuduk kemudian berkumur-kumur, kemudian memasukkan air ke dalam hidung dan dihembuskannya melainkan akan gugur dosa-dosa mulut dan hidungnya bersama air itu”. (Muslim 6/117 No832)

5. Menyapu seluruh kepala, hal ini berdasarkan hadis Abdullah bin Zaid r.a. dalam menyifatkan wuduk Rasulullah saw:
“Maka baginda menyapu kepalanya ke arah hadapan dan belakang, baginda bermula dengan bahagian depan kepalanya kemudian disapu hingga ke tengkuknya, kemudian dikembalikannya ke tempat yang dia bermula daripadanya”. (Bukhari 1/180 No183 dan Muslim 3/121 No 235)
Sunat menyapu ke seluruhnya iaitu dengan mengambil air dengan kedua belah tapak tangan kemudian disapukan ke atas kepala, iaitu dengan meletakkan hujung jari telunjuk dengan hujung jari telunjuk lainnya di atas kepala bahagian hadapan, kemudian disapukan hingga ke tengkuk kemudian dikembalikan ke tempat bahagian depan kepala.

 
6. Mencelah-celahi jari-jari tangan dan kaki.

 
7. Menyapu kedua-dua belah telinga zahir dan batinnya, ini berdasarkan hadis daripada Al-Miqdad bin Ma’di Karb r.a.:
“Bahawa Nabi saw menyapu kepalanya dan dua belah telinganya zahir dan batinnya, dan memasukkan jari pada lubang telinganya”. (Riwayat Abu Daud 1/27 dan Ibnu Majah 1/151)

8. Membasuh dan menyapu setiap anggota basuhan sebanyak tiga kali, ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Usman r.a. katanya:
“Mahukah aku tunjukkan kepada kamu cara berwuduk Rasulullah saw, kemudian beliau berwuduk tiga-tiga kali”. (Muslim 3/114 No227)

9. Menggosok anggota-anggota wuduk kecuali pada bahagian sapuan, ini berdasarkan hadis Abdullah bin Zaid r.a.:
“Bahawa Nabi saw berwuduk, lalu dia berkata: Demikianlah dia menggosok (bermaksud dia mentafsirkan perbuatan itu dengan perkataan”. (Riwayat Ahmad 4/39)
Perkara ini adalah sangat penting kerana ada juga yang saya lihat segelintir orang yang mengambil wuduk hanya dengan menjirus atau lalukan air sahaja, mungkin boleh jadi tidak terkena air pada anggota wuduk.

 
10. Memanjangkan Al-Ghurrah dan At-Tahjil. Memanjangkan Al-Ghurrah iaitu membasuh bahagian depan kepala bersama muka dan leher, manakala At-tahjil ialah membasuh di bahagian atas siku pada kedua belah tangan, dan membasuh di atas buku lali pada kedua belah kaki, ia meliputi kedua lengan dan kedua betis. Fadilat ini berdasarkan hadis Nabi saw daripada Abu Hurairah r.a. yang bersabda:
“Umatku akan datang pada hari kiamat dengan bercahaya muka, tangan dan kakinya dari kesan-kesan wuduk, maka sesiapa di antara kamu yang mampu melebihkan had basuhan pada muka, tangan dan kakinya hendaklah dia berbuat demikian”. (Bukhari 1/63 No136)
Manakala dalam lafaz hadis Imam Muslim 3/134 No246: “Kamu merupakan orang yang bercahaya muka, tangan dan kakinya pada hari kiamat kerana kamu telah menyempurnakan wuduk dengan baik. Maka sesiapa di antara kamu yang mampu melebihkan had basuhan pada muka, tangan dan kakinya hendaklah dia berbuat demikian”.

 
11. Tasyahhud dan doa, jika kita sudah selesai menunaikan wuduk, maka kita disunatkan untuk membaca doa ini:

“أشهد أن لا اله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله”

Doa ini adalah berdasarkan daripada hadis Nabi saw yang bersabda:
“Tidak seseorang pun daripada kamu yang berwuduk dan melebihkan basuhannya kemudian berdoa: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba Allah dan utusannya”, melainkan dibukakan untuknya lapan pintu syurga, ia boleh memasukinya melalui pintu yang ia kehendaki”. (Riwayat Muslim)
Tidak perlu memandai-mandai untuk menambah doa lain seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang, cukup dengan kita mengamalkan doa yang diajar oleh Rasulullah saw ini, kita sudah beroleh ganjaran yang sangat besar daripada Allah swt.


Kesimpulan..
Betapa Maha Pengasihnya Allah swt terhadap kita semua, hanya mengambil wuduk dengan sempurna dan mengikut beberapa syarat-syaratnya kita sudah mendapat ganjaran yang sangat besar, tetapi malangnya kita sering memandangnya dengan remeh pada bab ini. Jika kita perhatikan orang di sekeliling kita, sungguh ramai yang tidak sempurna wuduknya, ini belum lagi jika kita lihat pada bab solatnya.

Justeru itu, dengan sedikit perkongsian ini kita dapat memperbaiki wuduk kita dengan lebih gigih lagi, lihat balik mana yang kurang, cacat, dan mana amalan sunat yang kita tertinggal, semoga kita mendapat fadilat seperti apa yang dikatakan oleh Nabi saw itu kerana wuduk itu adalah syarat sah bagi sembahyang seseorang, jika tidak sempurna wuduk, maka tidak ada nilai pada ibadah solatnya.


Sekian,
kredit : Muhammad Fathullah Al-Haq
Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.


S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T.

 

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum wbt,

SYUKRAN, TERIMA KASEH, THANK U kerana sudi singgah blog saya : ♥ ukhuwah-fillah ♥ mahabbah-fillah ♥ mawaddah-fillah ♥ uhibbuka-fillah ♥ . DO LEAVE UR COMMENT. Kebanyakkan post dekat sini adalah dari pelbagai sumber. Sesiapa yang ingin SHARE atau COPY, silakan. Sharing is Caring, rite? IF U DUN MIND, LEAVE UR FOOTPRINT HERE - follow blog ana ok dak?syukran. Last but not least, semoga bermanfaat :)

Salam Ukhuwah Fillah Sahabat ~~~

║▌│█│║▌║││█║▌│
PUTERI AMMAR ©