20120318

Orang Pertama Yang Dihukum Di Akhirat


Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pada hari kiamat Allah akan menghukum semua makhluk di atas muka bumi ini. Pada hari itu orang yang pertama sekali akan dipanggil ialah orang yang mengerti Al-Quran, kedua orang yang mati fisabilillah dan ketiga ialah orang kaya. 

Allah akan bertanya kepada orang yang mengerti Al-Quran: "Bukankah Aku telah mengajar kepadamu apa yang Aku turunkan kepada utusan-Ku?. Orang itu menjawab: "Benar Ya Tuhanku. Aku telah mempelajarinya di waktu malam dan mengerjakannya di waktu siang." Allah berfirman: "Dusta! Kamu hanya mahu digelar sebagai Qari dan Qariah, malaikat juga berkata demikian."


Datang orang kedua, lalu Allah bertanya: "Kenapa kamu terbunuh?." Jawab orang itu: "Aku telah berperang untuk menegakkan agama-Mu." Allah berfirman: "Dusta! Kamu hanya ingin disebut pahlawan yang gagah berani dan kamu telah mendapat gelaran tersebut, malaikat juga berkata demikian."

Kemudian datang orang ketika pula: "Apa kamu buat terhadap harta yang Aku berikan kepadamu?." Jawab orang itu: "Aku gunakan untuk membantu kaum keluargaku dan juga untuk bersedekah." Lantas Allah berfirman: "Dusta! Kamu hanya ingin disebut dermawan dan kamu telah dikenali, malaikat juga berkata demikian." Sabda Rasulullah s.a.w. lagi: "Ketiga-tiga orang inilah yang pertama-tama akan dibakar dalam api neraka."



Sumber : ULUL ALBAB

20120317

Kisah Pengorbanan Seorang Ibu



“Nurse,boleh saya tengok bayi saya?”
 

 Ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dengan tidak kepada seorang jururawat. Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyuman meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu,diciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada dipangkuannya.


Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga. Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal,sesuatu yang cukup menggembirakan si ibu.


Masa terus berlalu…Pulang dari sekolah suatu tengahari,anak yang tiada cuping telinga itu kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia diejek rakan-rakan.


“Mereka kata saya cacat,” katanya kepada si ibu.


Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan muncul sebagai pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga,si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk.


Ayah kanak-kanak itu bertemu doktor. Ayah kanak-kanak itu tidak mahu anaknya terus merasa rendah diri dengan keadaan diri yang cacat.


“Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma,” kata pakar bedah.


Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban. Setahun berlalu…


“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan,” kata si ayah.


Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang. Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajarannya. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.


“Sebelum berangkat ke luar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,” kata si anak berkali-kali.


“Tak mungkin,” balas si ayah.


“Perjanjian antara ayah dengan penderma itu masih berjalan.Tunggulah,masanya akan tiba.”


“Bila?” tanya si anak.


“Akan tiba masanya anakku,” balas si ayah sambil ibunya mengangguk-angguk.


Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya. Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya,perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku. Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada.


“Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,” si ayah berbisik ke telinga anaknya.


“Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat, dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya…tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.”



Sumber : ULUL ALBAB

20120316

Pengajaran dari kisah Nabi Daud



NABI Daud a.s pernah mempunyai 99 orang isteri. Pada suatu hari, baginda yang juga menjadi raja, jatuh hati kepada seorang wanita yang sudah mempunyai suami.


Ketika hasratnya untuk mengambil wanita itu menjadi isterinya hampir dilaksanakan, Allah S.W.T mengutuskan dua malaikat yang menyerupai lelaki, bertemu baginda dengan membawa satu permasalahan untuk diadili.

Salah seorang 'lelaki' itu berkata, dia mempunyai seekor kambing betina dan rakannya mempunyai 99 ekor kambing betina. Bagaimanapun, rakannya itu telah memujuk beliau supaya memberikan kambingnya yang seekor.

Mendengar cerita lelaki itu, Nabi Daud berkata: "Sesungguhnya dia (lelaki yang mempunyai 99 kambing) telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambah kepada kambingnya. Dan sesungguhnya kebanyakan daripada orang-orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh.''


Selepas lelaki-lelaki itu beredar, barulah Nabi Daud a.s tersedar bahawa apa yang disampaikan oleh lelaki berkenaan adalah mesej daripada Allah mengenai kesalahannya mahu mengambil isteri orang walaupun sudah mempunyai 99 isteri. (Pada zaman Nabi Daud belum ada syariat beristeri hanya empat)


Maka Nabi Daud terus menyungkur sujud dan memohon taubat kepada Allah di atas kesilapannya. Allah mengampuni Nabi Daud dan berfirman: "Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu pemerintah di muka bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.''

Kisah Nabi Daud ini terkandung dalam surah Shaad (38) ayat 17 hingga 26. 

Pengajaran :
Salah satu pengajaran daripada kisah Nabi Daud itu ialah kita dikehendaki berlaku adil, khususnya bagi mereka yang menjadi pemimpin. Sesiapa yang tidak berlaku adil pasti akan menerima azab sama ada di dunia atau akhirat.

Lawan perkataan adil ialah zalim. Sejarah telah membuktikan bahawa sesiapa yang zalim akhirnya pasti akan menerima azab di dunia ini. Berdasarkan keterangan ayat-ayat Quran tersebut, Allah memperjelaskan bahawa manusia tidak dapat berlaku adil jika tunduk kepada hawa nafsu.
Cuma yang ingin diperingatkan kepada kaum lelaki yang mahu berpoligami, berlaku adillah sebagaimana yang Allah tuntut. Jika tidak adil, tanggunglah azabnya di dunia lagi.
Kepada kaum wanita pula, ada satu hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa lebih banyak wanita
menjadi penghuni neraka. Ditanya para sahabat apakah puncanya. Rasulullah SAW menjawab bahawa puncanya ialah kerana banyak wanita tidak mentaati suami mereka.


Wallahualam bissowab :)

Sumber : ULUL ALBAB

Larangan Menipu

Samurah Bin Jundub melaporkan katanya, "Rasulullah SAW selalu bertanya kepada sahabat baginda, 'Ada sesiapa di kalangan saudara bermimpi?' Oleh itu orang yang hendak menceritakan mimpinya menceritakan kepada baginda.


Pada suatu hari, Rasulullah SAW berkata kepada kami, 'Semalam dua orang datang kepada saya dan mereka berkata, 'Marilah.' Saya pun pergi bersama mereka.


Kami berjumpa LELAKI SEDANG BERBARING. Tiba-tiba datang orang lain BERDIRI SAMBIL MEMEGANG SEKETUL BATU YANG BESAR. Dia menghempaskan batu besar itu ke atas kepala lelaki yang berbaring itu lalu KEPALANYA PECAH HANCUR. Batu tadi bergolek dan lelaki tadi mengejar dan mengambilnya semula. Batu itu kembali ke tangan lelaki tadi apabila kepala si lelaki yang pecah itu sudah pulih seperti sedia kala.


Pembawa batu kembali semula kepada lelaki yang kepalanya sudah sembuh itu dan mengulangi perbuatannya tadi!

Saya bertanya kepada mereka yang mengajak saya, 'Maha Suci Allah! Siapakah mereka ini?'

Mereka berkata kepada saya, 'Teruskan berjalan!' Kami pun terus berjalan.


Kemudian, kami berjumpa lelaki yang BERBARING TELENTANG, manakala seorang lagi sedang BERDIRI SAMBIL MEMEGANG CANGKUK BESI. Tiba-tiba, dia datang ke arah sisi sebelah muka lelaki yang berbaring itu lalu MEROBEK-ROBEK PIPINYA, HIDUNGNYA DAN MATANYA HINGGA TEMBUS KE BELAKANG. Kemudian dia beralih ke sebelah sisi yang lain dan melakukan perkara sama. Apabila selesai mengerjakan sisi itu, sisi yang pertama sudah sembuh seperti sediakala. Kemudian dia kembali ke situ dan mengulangi perbuatan yang sama.


Rasulullah SAW bertanya lagi, 'Saya berkata, 'Maha Suci Allah! Siapakah mereka ini?'

Mereka berkata kepada saya, 'Teruskan berjalan!' Kami pun terus berjalan.


Kemudian kami berjumpa dengan benda seperti KETUHAR.


Kata pelapor hadis (Samurah), 'Saya rasa Rasulullah SAW berkata, 'Di dalam ketuhar itu ada BUNYI BISING DAN SUARA ORANG.


Rasulullah SAW berkata lagi, 'Kami pun lihat ke dalamnya, rupa-rupanya di dalam ketuhar itu ada lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang telanjang. Tiba-tiba API MARAK datang kepada mereka dari arah bawah dan mereka pun MERAUNG.


Saya bertanya lagi, 'Siapakah mereka?'

Mereka berkata kepada saya, 'Teruskan berjalan!' Kami pun terus berjalan.


Kemudian kami menjumpai SUNGAI.

Kata pelapor hadis (Samurah), 'Saya rasa Rasulullah SAW berkata, 'Air sungai itu MERAH SEPERTI DARAH.'


Rasulullah SAW berkata lagi, 'Tiba-tiba di dalam sungai itu ada LELAKI YANG SEDANG BERENANG, manakala di tebing sungai pula LELAKI LAIN SUDAH SEDIA MENGUMPULKAN BANYAK BATU. Lelaki yang berenang itu datang dekat, lelaki yang mengumpulkan batu dan membuka mulutnya, lalu lelaki di tebing sungai pun MELONTARKAN BATU KE MULUTNYA. Kemudian dia pergi berenang lagi, dan datang semula kepada lelaki di tebing. Setiap kali dia datang, dia MEMBUKA MULUT dan lelaki di tebing melontarkan batu ke dalam mulutnya.


Saya bertanya kepada dua orang yang mengajak saya, 'Siapakah mereka ini?'

Mereka berkata kepada saya, 'Teruskan berjalan!' Kami pun terus berjalan.


Kemudian kami berjumpa LELAKI YANG SANGAT HODOH RUPANYA. Dia menyalakn API DAN BERLARI-LARI MENGELILINGINYA.


Saya bertanya kepada dua orang itu, 'Siapakah orang ini?'

Mereka berkata kepada saya, 'Teruskan berjalan!' Kami pun terus berjalan.


Kemudian kami sampai di TAMAN YANG SUBUR MENGHIJAU DAN BERBUNGA PELBAGAI WARNA. Di tengah-tengah taman itu ada LELAKI TINGGI, saya hampir-hampir tidak dapat melihat kepalanya kerana terlalu tinggi menjulang ke langit. Di sekeliling lelaki itu ada KANAK-KANAK, saya tidak pernah melihat kanak-kanak sebegitu ramai.


Saya bertanya, 'Siapa orang ini? Siapa pula kanak-kanak ini?'

Mereka berkata kepada saya, 'Teruskan berjalan!' Kami pun terus berjalan.


Kemudian kami sampai pada POKOK BESAR, tidak pernah saya lihat pokok sebesar dan secantik itu!

Mereka berdua berkata kepada saya, 'Panjatlah.'

Kami memanjat sehingga sampai di KOTA YANG DIBINA DARIPADA BATU-BATA, EMAS dan PERAK. Kami pergi ke pintu pagar kota dan mengetuknya, lalu pintu dibuka. Kami disambut oleh orang-orang yang sebelah badan mereka ELOK rupanya seperti orang paling elok saudara lihat, manakala sebelah lagi badan mereka HODOH rupanya, seperti orang yang paling hodoh saudara lihat!


Dua orang bersama saya itu berkata kepada mereka, 'Terjunlah ke dalam sungai itu.'


SUNGAI itu terbentang di tengah kota dan airnya putih seperti susu. Mereka mandi di dalamnya dan apabila mereka kembali kepada kami, RUPA BURUK MEREKA HILANG DAN MEREKA MENJADI SANGAT ELOK.


Nabi Muhammad SAW berkata lagi, 'Mereka berdua berkata kepada saya, 'Ini SYURGA ADNIN DAN INILAH RUMAH TUAN.' Saya pun memandang ke atas dan nampak ISTANA SEPERTI AWAN PUTIH. Mereka berkata kepada saya lagi, 'Inilah rumah tuan.'


Saya berkata kepada mereka, 'Semoga Allah beri KEBAIKAN  kepada tuan berdua. Biarah saya masuk ke dalamnya.'

Mereka menjawab, 'Sekarang tidak boleh, tuan akan masuk suatu masa nanti.'

Saya bertanya kepada mereka, 'Sepanjang malam ini saya lihat banyak perkara aneh, apa maksud perkara yang saya lihat itu?'


Kata mereka kepada saya, 'Kami akan beritahu tuan. Lelaki pertama yang tuan jumpa yang dihempaskan batu di kepalanya itu adalah ORANG YANG BELAJAR AL-QURAN KEMUDIAN TIDAK MEMBACA DAN TIDAK MENGAMALKAN ILMUNYA DAN TIDUR TANPA MENGERJAKAN SEMBAHYANG WAJIB.


Lelaki yang dirobek-robekkan pipi, hidung dan matanya sehinggga tembus ke belakang itu adalah ORANG YANG KELUAR DARI RUMAH DAN MENYEBARKAN CERITA BOHONG SEHINGGA TERSEBAR KE PELUSUK DUNIA.


Orang lelaki dan perempuan yang telanjang dalam tempat seperti ketuhar itu adalah PENZINA LELAKI DAN PENZINA PEREMPUAN.


Lelaki yang sedang berenang di dalam sungai dan disuapkan dengan batu itu adalah PEMAKAN RIBA.


Lelaki berwajah hodoh yang menyalakan api dan berlari-lari mengelilinginya pula adalah MALAIKAT MALIK PENJAGA NERAKA JAHANAM.


Lelaki tinggi di taman itu pula adalah NABI IBRAHIM, manakala kanak-kanak yang ada di sekeliling beliau adalah ANAK-ANAK YANG MATI SEMASA KECIL DALAM KEADAAN BERAGAMA FITRAH ( ISLAM).


Dalam laporan Barqani disebut, 'Anak-anak dilahirkan dalam keadaan beragama fitrah (ISLAM).'

Beberapa orang Islam bertanya, 'Anak-anak orang bukan Islam pun termasuk juga?'

Jawab Rasulullah SAW, 'Anak-anak orang bukan Islam pun termasuk juga.'


Mereka yang berupa buruk sebelah dan elok sebelah pula adalah ORANG YANG MENCAMPUR-ADUKKAN AMALAN BAIK DAN AMALAN BURUK tetapi Allah ampunkan dosa mereka.."


(HR Bukhari)


Sumber : BERBICARA CARA NABI (Koleksi Terpilih Daripada Kitab Riyadus Solihin) oleh  IMAM NAWAWI














20120315

UTAMAKAN AMALAN BATIN

 
Assalamualaikum wr wb :)

Di antara sebab amalan batin wajib diutamakan kerana terdapat bukti dalam nas seperti berikut :

1) Perintah supaya KHUSYUK dalam solat:
"Apakah belum masanya bagi orang yang beriman untuk kusyuk mengingati Allah.."
(Al-Hadid : 16)


2) Supaya sentiasa MERASA DIAWASI oleh Allah :
"Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca satu ayat dari Al-Quran dan tidak mengerjakan suatu pekerjaan melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Allah biarpun sebesar zarah (atom) di bumi biarpun di langit. Tidak ada yang kecil dan tidak pula yang lebih besar dari itu melainkan (semua tercatat dalam kitab yang nyata ( Luh Mahfuz).."
(Yunus : 61)


3) Perintah supaya TAKUT kepada Allah :
"Janganlah kamu menyembah dua tuhan. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kepadaKu sahaja kamu takut.."
(Al-Nahl : 51)


4) Perintah supaya TAWAKKAL :
"Hanya kepada Allah sahajalah orang beriman harus bertawakkal.."
(Al-Taubah : 51)


5) Perintah supaya SYUKUR :
"Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembahNya.."
(Al-Baqarah : 172)


6) Perintah supaya SABAR :
"Sabarlah, tetapi tidak mungkin kamu bersabar kecuali dengan pertolongan Allah.."
(Al-Nahl : 127)





Sumber : SOLUSI