Showing posts with label PENGAJARAN. Show all posts
Showing posts with label PENGAJARAN. Show all posts

20120401

GHURUR : DERHAKA dalam TAAT


ALLAH SWT berfirman dalam Surah Ali Imran:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga padahal Allah belum mengenali mereka yang berjihad antaramu dan belum juga mengenali mereka yang sabar.  (Ali Imran : 142)
Marilah kita tanyai diri kita sendiri: “Sudahkah aku melakukan jihad yang besar itu? Atau sudahkah aku perangi hawa nafsuku?” Untuk menjawabnya, tiliklah ke dalam hati kita apakah sentiasa ingat Allah atau selalu lalai? Apakah sudah cinta Allah atau lebih cinta pada dunia? Apakah sudah sabar atas ujian Allah atau masih memberontak terhadapnya? Apakah sudah bersih dari mazmumah-mazmumah lainnya atau masih lagi hasad dengki, benci membenci, minta puji, gila nama, tamak dan mementingkan diri sendiri?

Berjihad menurut Tafsir ialah:
1. Berperang dengan orang kafir dan munafik untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam.
2. Memerangi hawa nafsu dan syaitan.
3. Mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam.
4. Membenteras yang batil dan menegakkan yang hak.


Allah SWT menimbulkan persoalan (tanda tanya) pada kita umat Islam, sudahkah kita berjihad dan bersabar? Kalau belum kita lakukan itu maka jangan kita fikir bahawa kita akan dapat masuk syurga Allah di Akhirat kelak. Jika sudah, maka kita sebenarnya sedang fisabilillah. Berperang melawan kafir dan munafik adalah mudah.Yang susah ialah berperang dengan hawa nafsu dan syaitan. Kalau kita berjaya terhadap orang kafir tetapi tidak berjaya dengan nafsu, itu belum menjamin kita benar-benar bertaqwa.


Rasulullah SAW bersabda:
Kita baru balik dari peperangan kecil untuk masuk ke satu peperangan yang lebih besar. Sahabat bertanya: “Peperangan apa itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab, “Peperangan hati yakni melawan hawa nafsu.  (Riwayat Al Bukhari & Muslim)
Ketahuilah sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging maka baiklah seluruh jasad. Bila busuk daging itu, maka jahatlah seluruh jasad. ketahuilah, itulah hati (Riwayat Al Bukhari & Muslim)

Kalau hati masih berisi daki-daki dunia yang kotor itu, janganlah mimpi amalan-amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, sedekah, berdakwah, menuntut ilmu, menutup aurat, baca Quran, zikrullah dan lain-lain itu dapat menebus kita dari kebencian Allah dan api neraka. Cuba kita lihat firman Allah:
Hari itu (hari ketika meninggal dunia) harta dan anak tidak berguna lagi kecuali orang yang mengadap AKU membawa hati yang selamat (hati yang bersih dari segala kejahatannya dari sifat mazmumah).  (Asy Syuara ‘: 88-89)
Kalau sembahyang tidak khusyuk dan tiada rasa hamba, itu tanda masih menderhaka. Bukan amalan lahir sahaja yang dapat membawa seseorang kepada keredhaan Allah dan syurga-Nya, tetapi yang lebih penting ialah amalan hati. Sabda Rasulullah SAW:
Allah tidak memandang rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.  (Riwayat Muslim)
Kalau hati kita beramal soleh dan lahir kita juga turut beramal soleh (sebab amalan lahir mengikut amalan batin, umpama rakyat mengikut raja) itulah kesempurnaan amalan manusia yang dijamin dengan Syurga. Untuk meyakinkan, diperturunkan firman Allah yang menunjukkan amalan batin adalah wajib:

1. Perintah khusyuk dalam sembahyang, iaitu mengingati Allah: Apakah belum masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk mengingati Allah.   (Al Hadid : 16)


2. Perintah supaya sentiasa merasa diawasi oleh Allah: Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca satu ayat dari Al-Quran dan tidak mengerjakan suatu pekerjaan melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Allah biarpun sebesar zarah (atom) di bumi biarpun di langit. Tidak ada yang keci1 dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).  (Yunus: 61)


3. Perintah supaya takut kepada Allah: Janganlah kamu menyembah dua Tuhan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku sahaja kamu takut.  (An Nahl : 51)


4. Perintah supaya tawakkal kepada Allah: Hanya kepada Allah sahajalah orang-orang beriman harus bertawakkal.  (At Taubah: 51)


5. Perintah supaya syukur pada Allah: Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya.  (Al Baqarah: 172)


Kalau betul kita menghambakan diri pada Allah, kita mesti ada rasa syukur pada Allah. Umpama kita dapat hadiah dari raja. Kita mesti rasa terhutang budi dan berterima kasih padanya, dan bersyukur atas hadiah pemberiannya. Jangan pula asyik fikir hadiah itu sahaja hingga lupa pada yang memberi hadiah.


Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu maka dari Allahlah datangnya dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya pada-Nyalah kamu minta tolong.  (An Nahl: 53)


6. Perintah supaya sabar: Sabarlah kamu tetapi tidak mungkin kamu bersabar kecuali dengan pertolongan Allah.  (An Nahl: 127)



Antara kedua-dua amalan lahir dan amalan batin, Allah lebih mengutamakan amalan batin, sebab itu kalau ia diamalkan hendaklah benar-benar kerana dan untuk Allah, bukan untuk manusia. Sebab manusia tidak nampak. Kalau hati sudah betul, akan betullah lahirnya. Kalau lahir sahaja betul, hati belum tentu betul.


Jangan pula ada orang yang mengatakan: “Kalau begitu, kita jaga hati sudahlah, lahir tidak payah!” Ini lagi tidak betul. Sebab hati yang betul ialah hati yang taat pada perintah-perintah Allah lahir dan batin. Kalau amalan lahir tidak dibuat maknanya hati belum betul. Banyak berlaku dalam masyarakat umat Islam hari ini mereka yang beramal dengan hukum Islam tentang syariat lahir sahaja seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, zikrullah, sedekah, tutup aurat dan bersillaturahim. Namun amalan hati (batin) tidak dipedulikan. Inilah yang dimaksudkan sebagai derhaka dalam taat.



Ada dua jenis orang yang derhaka dalam taat:

1. Orang yang beramal dengan syariat lahir sahaja seperti sembahyang wajib dan sunat, puasa, haji, zakat, baca Quran, zikir dan wirid, di samping sedikit-sedikit amalan batin, tetapi kedua-dua tidak sempurna (iaitu tidak seperti yang dikehendaki Allah dan tidak semua perintah Allah yang dibuatnya).

Contohnya ialah orang-orang yang melakukan semua perintah fardhu di samping Fadhail-ul-A’mal (sembahyang sunat witir, dhuha, tahajud, puasa siang hari, membaca Quran, tahlil) tetapi masih terlibat dengan riba (makan dan memberi riba), mendedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah,mencerca, sombong, bakhil dan cinta dunia. Golongan ini adalah golongan derhaka dan tidak lepas dari api neraka.

Imam Al Ghazali berkata:
“Tidak mengapa kalau tidak boleh tahajjud malam (kerana ianya sunat), tetapi janganlah membuat dosa (haram) di siang hari kerana tidak ada gunanya bakti pada Allah di malam hari (tahajjud) tetapi derhaka (buat dosa-haram) di siangnya."
Orang ini bandingannya sama seperti seorang yang menanam padi di tengah-tengah lalang. Hasilnya padi akan dirosakkan oleh lalang dan tidak memperolehi apa-apa hasil pun. Atau seperti seorang yang memelihara kesihatan badannya dengan memakan ubat-ubatan yang perlu, tetapi dimakan juga racun. Jadi orang itu tidak sesihat seperti yang diharap-harapkan.


Tersebut sebuah hadis: Tahukuh kamu apa itu muflis? Mereka menjawab: Muflis pada kami mereka yang tidak mempunyai dirham dan sebarang benda.

Sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah yang datang pada hari Qiamat dengan sembahyang, puasa dan zakat tetapi dia juga pernah mencaci, menuduh orang buat jahat, dan mengambil hak orang. Dia juga pernah menumpahkan darah (membunuh orang) atau sekurang-kuranpya memukul. Oleh itu pahala ibadahnya akan diberi kepada orang yang dianiayai itu satu persatu. Dan kalau pahalanya tidak cukup, dosa-dosa orang itu pula diberikan kepadanya (jadilah ia muflis) dan akan dijerumuskan ke dalam Neraka. (Riwayat Muslim)
2. Orang yang taat dalam mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan batin. Lahirnya nampak sempurna tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak, panjang angan-angan, minta puji, cinta dunia, tamak, mementingkan diri sendiri, di samping tidak ada rasa hina diri, mengharap dan malu dengan Allah. Sebaliknya dia suka menghina orang yang tidak beribadah. Rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat.


Orang ini sebenarnya orang yang derhaka pada Allah dalam taatnya pada Allah. Hakikatnya dia adalah orang yang derhaka dan amalannya ditolak. Dia bukan orang yang dekat dengan Allah tetapi orang yang jauh daripada Allah dan hatinya terputus dengan Allah.


Telah sepakat ulama berkata:

i. Biar sedikit amal (yang fardhu sahaja) bersama hati rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa.
ii. Walau bagaimana banyak dan hebat sekalipun ibadah seseorang tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.


Orang yang beramal lahir tanpa amalan batin ini bandingannya seperti seorang pekerja di istana raja yang rajin dan taat melakukan kerja-kerja yang ditugaskan padanya di istana itu. Kerjanya beres dan lengkap mengatasi pekerja-pekerja lainnya. Maka timbullah bangganya dan sombongnya. Sudahlah sesama kawan-kawan dia berlagak angkuh, depan raja pun sudah tidak sopan lagi, tidak hormat dan tidak beradab. Dia rasa diri hebat dan besar kerana dia beranggapan raja tidak murka kepadanya sebab semua kerjanya beres.


Sebaliknya apa pandangan raja? Sekalipun dia tahu hambanya itu kerjanya beres tetapi kerana biadabnya itu, raja tidak akan sayang untuk membuangnya dari istana sebab dia seolah-olah hendak jadi raja (ataupun rasa setaraf dengan raja). Begitu juga jika seorang manusia yang beres melakukan perintah-perintah Allah tetapi hatinya tidak beradab dengan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki, nescaya Allah tetap murka dan akan dicampakkan ke dalam Neraka Allah. Firman Allah:
Adapun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksa yang pedih. (An Nisa’: 173)

Dan firman Allah dalam hadis Qudsi bermaksud:
Hai Isa, apabila Aku lihat di dalam hati hamba-Ku terdapat cinta yang suci pada-Ku tidak bercampur oleh sesuatu tamak, keinginan-keinginan yang berkenaan dengan Akhirat dan dunia maka ia akan Kuperlakukan sebagai penjaga cintanya itu.
Orang-orang yang benar-benar taat ialah orang yang hatinya cinta kepada Allah. Cinta sucinya akan membuatkan dia beramal semata-mata untuk Allah. Tidak bercampur dengan niat untuk untung dunia atau akhirat. Orang begini taatnya kepada Allah adalah taat yang suci. Dia tidak akan ujub dalam taatnya, tidak riak dalam taatnya, tidak buruk sangka dalam taatnya, tidak sombong dalam taatnya, tidak panjang angan-angan dalam taatnya, tidak rasa tuan dalam taatnya dan lain-lain.


Inilah orang yang dekat hatinya kepada Allah. Dia taat dalam taatnya. Jasad lahirnya dan jasad batinnya sama-sama tunduk menyembah Allah dengan taat, rasa hina diri, malu, rasa bersalah, rasa berdosa dengan Allah, tidak menghina hamba-hamba yang lain, tidak sombong dan tidak hasad. Ibadah-ibadahnya yang lahir (membuat yang fardhu dan sunat dan meninggalkan yang haram, syubahat dan makruh) dan ibadah batin itu betul-betul dilakukan sebagai satu persembahan yang sepatutnya dari seorang hamba kepada Tuhannya. Dia tidak mengharap apa-apa balasan di dunia dan di akhirat. Inilah sebenar-benarnya hamba Allah yang menjadi kecintaan Allah di akhirat nanti.


Firman Allah dalam surah Al Waaqiah:

Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). Dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang sentiasa mengalir. Dan buah-buahan yang lebat. Yang tidak bermusim (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya. Dan tilam-tilam yang tersedia di atas katil. Sesungguhnya Kami menciptakan untuk mereka (bidadari-bidadari) ciptaan yang unik (tidak beranak). Dan Kami jadikan mereka muda-muda belaka. Saling mencintai dan sebaya umurnya. Untuk golongan kanan (terdapat dua kumpulan). (Iaitu) kumpulan besar dari orang-orang yang terdahulu. Dan kumpulan besar dari orang-orang yang kemudian.   (Al Waaqiah: 27 -40)


Ada pula segolongan manusia yang taat dalam derhaka. Ini ialah orang yang tidak kuat beramal dengan syariat lahir disebabkan tidak kuatnya melawan hawa nafsu dan syaitan. Mereka hanya dapat membuat yang fardhu dan meninggalkan yang haram tetapi sunat-sunat Fadhoil-ul-A’mal sangatlah kurang. Dan kerana kekurangan ini mereka sentiasa merasa kekurangan diri, hina diri dan rasa bersalah, berdosa, mengharap amal yang sedikit itu diterima Allah, malu dan takut dengan Allah.


Mereka selalu menyesali diri yang tidak kuat melawan hawa nafsu dan rasa berdosa, rasa tidak sempurna khidmat sentiasa ada di hati mereka dan minta dikasihani oleh Allah. Sebab itu mereka selalu beristighfar. Golongan ini sebenarnya golongan yang taat. Mereka taat dalam derhaka. Mereka akan selamat di dunia dan di akhirat.


Bandingan mereka ialah seperti seorang pekerja istana raja yang tidak begitu rajin. Kerjanya setakat cukup, tidak lebih, kadang-kadang tersilap pula, cuai, sepatutnya dua jam, dibuat hanya satu jam. Kerana itu dia rasa bersalah, rasa kurang, tidak besar diri, tidak fikir lagi kesalahan orang, takut sesama kawan apalagi raja.


Dia bimbang kalau-kalau kekurangannya mendatangkan kemurkaan pada raja. Sebab itu bukan sahaja dengan raja dia sangat bersopan malah dia tidak berani pandai-pandai dalam istana, gerak-gerinya dijaga dalam bimbang dan sentiasa mengharapkan kemaafan dan keampunan raja. Raja menyedari keadaan ini, dengan sebab itu raja memaafkan kekurangan hambanya itu dan hamba itu akan tetap diterima sebagai hamba di dalam istananya. Begitulah kalau hamba Allah yang sentiasa sedar diri dan insaf kelemahannya, sentiasa taubat, takut, malu dan rasa hina diri pada Allah dan berakhlak pula sesama manusia. Dia akan mendapat keampunan dan syurga Allah di Akhirat nanti.


Firman Allah:

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh maka mereka akan masuk syurga dan tidak dianiaya sedikit pun.  (Mariam: 60)


Hidup kita ialah untuk menghambakan diri pada Allah. Itulah jalan keselamatan seorang manusia. Dua puluh empat jam kita mesti beribadah pada Allah, lahir dan batin. Firman Allah:

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku. (Adz Dzaariyat: 56)


Mungkin ibadah lahir ada juga rehatnya tetapi ibadah batin iaitu hati kita, mesti beramal terus menerus. Mesti sentiasa mengekalkan rasa kehambaan pada Allah, rasa hina, rasa malu, rendah diri, takut, bimbang, ingin berkhidmat, rasa berdosa, rasa lemah dan rasa kurang. Perasaan-perasaan (zauk) ini hendaklah kita adakan dalam hati sepanjang masa.


Bagi kita orang awam ini mungkin rasa itu belum ada di hati maka hendaklah kita mengusahakannya yakni dengan memikirkan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah. Lihatlah dan fikirkan tanda-tanda kebesaran Allah pada alam. Dari situ datanglah perasaan kehambaan kita itu. Pada peringkat awal perlu dipaksa-paksa supaya perasaan itu ada. Bagi orang yang telah bersih hatinya mereka tidak payah memikirkannya lagi. Perasaan itu sedia ada dan sentiasa ada dalam hati mereka. Bukan sahaja waktu sembahyang, waktu membaca Quran, berpuasa, waktu berzikir dan lain-lainnya, malah di waktu berkhidmat di luar ibadah, hati mereka tetap kepada Allah SWT.


Pendek kata perasaan kehambaan itu telah benar-benar dihayati oleh lahir dan batin mereka sepanjang masa. Macamlah seorang pekerja istana hatinya sentiasa terisi dengan perasaan kehambaan sama ada ketika dia bekerja atau ketika dia berehat-rehat, waktu makan, minum dan waktu tidur. Bukannya waktu kerja dia merasa dia “kuli”, tetapi waktu rehat dia rasa dia tuan dan berlagak macam tuan.


Orang yang kenal Allah akan benar-benar merasa dia hamba Allah. Hatinya tidak merasa dia lebih, dia pandai, dia hebat, dia besar, dia kuat, dia segala-galanya. Sebab kalau dia pandai pun dia tetap hamba, dia rasa dia hamba, ingin berkhidmat sebagai hamba, hidupnya seperti hamba dan bergaya sebagai hamba. Hamba kepada Allah, bekerja untuk Allah, mengabdikan diri kepada Allah, berjuang membela agama Allah, berkorban untuk Allah dan berperang kerana Allah dan rela mati kerana Allah.


Sesiapa sahaja musuh Allah adalah musuhnya, akan ditentang sehebat-hebatnya. Dan sesiapa sahaja “orang-orang Allah” adalah orang-orangnya maka digauli penuh mesra dan kasih sayang. Inilah jiwa yang merdeka bebas dari ikatan dunia. Jiwa yang tidak akan diperhambakan oleh dunia kerana jiwanya diserah bulat-bulat pada Allah. Banyak berlaku di kalangan kita, mereka yang merasa hamba Allah ketika waktu beribadah, sembahyang, puasa, waktu mengerjakan haji, atau waktu membaca Quran, berwirid dan zikir sahaja.


Di luar dari waktu itu, waktu makan, waktu tidur, waktu membasuh, waktu menyapu halaman dan lain-lain, tidak rasa diri sebagai hamba. Kita rasa itu urusan kita, kejayaan kita adalah untuk kita dan kerana kita. Kita perturutkan selera kita, pendapat kita dan cara kita dalam melaksanakannya. Kita tidak rasa kita berkhidmat untuk dan kerana Allah lagi. Kita tidak terasa hubungan dengan Allah lagi, kita tidak rasa malu dengan Allah dan hina diri lagi. Mungkin kalau ditanya orang, kita akan menjawab kita bekerja untuk Allah tetapi itu akal, hakikatnya hati kita tidak merasa begitu. Perasaan kita bukan begitu (zauk tidak begitu).


Hati rasa tuan, rasa kita punya, kuasa kita, kejayaan kita, kelebihan kita dan kerana kita. Sebab itu kita ikut selera kita dalam tindakan hingga membelakangkan peraturan hidup dari Tuhan. Orang begini sebenarnya bukan menghambakan diri pada Allah, dan tidak bertuhankan Allah. Dia bertuhankan hawa nafsu dan menghambakan diri untuk nafsu.




S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T.



Sumber : http://www.usahataqwa.com/taqwa/derhaka-dalam-taat.html

20120316

Pengajaran dari kisah Nabi Daud



NABI Daud a.s pernah mempunyai 99 orang isteri. Pada suatu hari, baginda yang juga menjadi raja, jatuh hati kepada seorang wanita yang sudah mempunyai suami.


Ketika hasratnya untuk mengambil wanita itu menjadi isterinya hampir dilaksanakan, Allah S.W.T mengutuskan dua malaikat yang menyerupai lelaki, bertemu baginda dengan membawa satu permasalahan untuk diadili.

Salah seorang 'lelaki' itu berkata, dia mempunyai seekor kambing betina dan rakannya mempunyai 99 ekor kambing betina. Bagaimanapun, rakannya itu telah memujuk beliau supaya memberikan kambingnya yang seekor.

Mendengar cerita lelaki itu, Nabi Daud berkata: "Sesungguhnya dia (lelaki yang mempunyai 99 kambing) telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambah kepada kambingnya. Dan sesungguhnya kebanyakan daripada orang-orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh.''


Selepas lelaki-lelaki itu beredar, barulah Nabi Daud a.s tersedar bahawa apa yang disampaikan oleh lelaki berkenaan adalah mesej daripada Allah mengenai kesalahannya mahu mengambil isteri orang walaupun sudah mempunyai 99 isteri. (Pada zaman Nabi Daud belum ada syariat beristeri hanya empat)


Maka Nabi Daud terus menyungkur sujud dan memohon taubat kepada Allah di atas kesilapannya. Allah mengampuni Nabi Daud dan berfirman: "Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu pemerintah di muka bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.''

Kisah Nabi Daud ini terkandung dalam surah Shaad (38) ayat 17 hingga 26. 

Pengajaran :
Salah satu pengajaran daripada kisah Nabi Daud itu ialah kita dikehendaki berlaku adil, khususnya bagi mereka yang menjadi pemimpin. Sesiapa yang tidak berlaku adil pasti akan menerima azab sama ada di dunia atau akhirat.

Lawan perkataan adil ialah zalim. Sejarah telah membuktikan bahawa sesiapa yang zalim akhirnya pasti akan menerima azab di dunia ini. Berdasarkan keterangan ayat-ayat Quran tersebut, Allah memperjelaskan bahawa manusia tidak dapat berlaku adil jika tunduk kepada hawa nafsu.
Cuma yang ingin diperingatkan kepada kaum lelaki yang mahu berpoligami, berlaku adillah sebagaimana yang Allah tuntut. Jika tidak adil, tanggunglah azabnya di dunia lagi.
Kepada kaum wanita pula, ada satu hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa lebih banyak wanita
menjadi penghuni neraka. Ditanya para sahabat apakah puncanya. Rasulullah SAW menjawab bahawa puncanya ialah kerana banyak wanita tidak mentaati suami mereka.


Wallahualam bissowab :)

Sumber : ULUL ALBAB

20120117

:: AKIBAT BERZINA ::


ZINA merupakan kejahatan yang sangat besar yang memberi kesan amat buruk kepada penzina itu sendiri khususnya dan kepada seluruh umat amnya. Di zaman sekarang di mana banyaknya saluran dan media yang berusaha menyeret ke arah perbuatan keji ini, maka amat perlu untuk setiap orang mengetahui bahaya dan akibat buruk yang timbul dari dosa zina. Kita semua hendaklah lebih berhati-hati dan berwaspada agar tidak terjerumus, hatta, walaupun hanya mendekatinya.


Di antara akibat buruk dan bahaya tersebut adalah :

1- Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan yakni berkurangnya agama si penzina, hilangnya sikap wara’ (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.

2- Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu merupakan suatu hal yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.

3- Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.

4- Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.

5- Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan atau merasa demikian sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang diterimanya.

6- Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.

7- Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.

8- Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.

9- Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.

10- Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para pezina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya. Ini adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan yang sebaliknya dari apa yang dia inginkan, dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan.

11- Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari yang jelita di syurga kelak.

12- Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim, serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.

13- Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.

14- Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih membekas dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya, kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya, namun dosa zina akan benar-benar membekas dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku zina itu bertaubat dan membersihkan diri dia akan masih merasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya.

15- Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkan kandungannya itu maka dia telah berzina dan juga telah membunuh jiwa yang tidak berdosa . Jika dia ialah seorang wanita yang telah bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir maka dia telah memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Amat mengerikan, naudzubillah min dzalik.

16- Perzinaan akan melahirkan generasi individu-individu yang tidak ada asal keturunan (nasab). Di mata masyarakat mereka tidak memiliki status sosial yang jelas.

17- Pezina laki-laki bererti telah menodai kesucian dan kehormatan wanita.

18- Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.

19- Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di mana mereka akan merasa jatuh martabat di mata masyarakat, sehingga kadang-kadang menyebabkan mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan orang lain.

20- Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit berbahaya seperti aids, siphilis, dan gonorhea atau kencing bernanah.

21- Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat yakni mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar dan yang dilakukan secara terang-terangan.


Hukuman Zina

Demikianlah besarnya bahaya dosa zina, sehingga Ibnul Qayyim, ketika mengulas tentang hukuman bagi penzina, berkata:

 “Allah telah mengkhususkan hadd (hukuman) bagi pelaku zina dengan tiga kekhususan iaitu:

Pertama, hukuman mati secara hina (rejam) bagi pezina kemudian diringankan (bagi yang belum nikah) dengan dua jenis hukuman, hukuman fizikal yakni dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan diasingkan selama satu tahun.

 

Kedua, Allah secara khusus menyebutkan larangan merasa kasihan terhadap penzina. Umumnya sifat kasihan adalah diharuskankan bahkan Allah itu Maha Pengasih namun rasa kasihan ini tidak boleh sehingga menghalang dari menjalankan syariat Allah. Hal ini ditekankan kerana orang biasanya lebih kasihan kepada penzina daripada pencuri, perompak, pemabuk dan sebagainya. Di samping itu penzinaan boleh dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang kelas atasan yang mempunyai kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan hukuman merasa enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.

Ketiga, Allah memerintahkan agar pelaksanaan hukuman zina disaksikan oleh orang-orang mukmin dengan maksud menjadi pengajaran dan memberikan kesan positif bagi kebaikan umat.


Beberapa Perkara Penting Yang Perlu Diperhatikan

1- Orang yang berzina dengan banyak pasangan lebih besar dosanya daripada yang berzina hanya dengan satu orang, demikian juga orang yang melakukanya berkali-kali dosanya lebih besar daripada yang melakukannya hanya sekali.

2- Penzina yang berani melakukan maksiat ini dengan terang-terangan lebih buruk daripada mereka yang melakukannya secara sembunyi-sembunyi.

3- Berzina dengan wanita yang bersuami lebih besar dosanya daripada dengan wanita yang tidak bersuami kerana adanya unsur perbuatan zalim (terhadap suami wanita), boleh menyalakan api permusuhan dan merosak keutuhan rumah tangganya.

4- Berzina dengan jiran lebih besar dosanya daripada orang yang jauh rumahnya.

5- Berzina dengan wanita yang sedang ditinggalkan suami kerana perang (jihad) lebih besar dosanya daripada dengan wanita lain.

6- Berzina dengan wanita yang ada pertalian darah atau mahram lebih jahat dan hina daripada dengan yang tidak ada hubungan mahram.

7- Ditinjau dari segi waktu maka berzina di bulan Ramadhan, baik siangnya ataupun malamnya, lebih besar dosanya daripada waktu-waktu lain.

8- Kemudian dari segi tempat dilakukannya, maka berzina di tempat-tempat suci dan mulia lebih besar dosanya deripada tempat yang lain.

9- Pezina muhson (yang sudah bersuami atau beristeri) lebih hina daripada gadis atau jejaka, orang tua lebih buruk daripada pemuda, orang alim lebih buruk daripada yang jahil dan orang yang berkemampuan (terutama dari segi ekonomi) lebih buruk deripada orang fakir atau lemah.


Bertaubat

Bertaubat ini bukan khusus hanya kepada penzina, bahkan kepada sesiapa sahaja yang menunjukkan jalan untuk terjadinya zina, membantu dan memberi peluang kepada pelakunya dan siapa saja yang ikut terlibat di dalamnya. Hendaknya mereka semua segera kembali dan bertaubat dengan sungguh-sungguh, menyesali apa yang pernah dilakukannya dan berusaha sekuat tenaga untuk tidak kembali melakukannya. Dan yang paling penting adalah memutuskan hubungun dengan siapa sahaja dan apa sahaja yang boleh menarik ke arah perbuatan keji tersebut. Dengan demikian diharapkan Allah akan menerima taubat itu dan mengampuni segala dosa yang pernah dilakukan, dan ingatlah, tidak ada istilah ‘putus asa’ dalam mencari rahmat Allah.

Allah berfirman, mafhumnya:

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;” (Al-Furqaan 25:68)

“Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,” (Al-Furqaan 25:69)

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Furqaan 25:70)


Sumber : HasnulHadiAhmad.Com
Dipetik dari: Risalah Daarul Wathan judul Min mafasid az-zina, karya Muhammad bin Ibrahim al Hamd.

Wallahu’alam….