Showing posts with label PANDUAN. Show all posts
Showing posts with label PANDUAN. Show all posts

20120401

GHURUR : DERHAKA dalam TAAT


ALLAH SWT berfirman dalam Surah Ali Imran:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga padahal Allah belum mengenali mereka yang berjihad antaramu dan belum juga mengenali mereka yang sabar.  (Ali Imran : 142)
Marilah kita tanyai diri kita sendiri: “Sudahkah aku melakukan jihad yang besar itu? Atau sudahkah aku perangi hawa nafsuku?” Untuk menjawabnya, tiliklah ke dalam hati kita apakah sentiasa ingat Allah atau selalu lalai? Apakah sudah cinta Allah atau lebih cinta pada dunia? Apakah sudah sabar atas ujian Allah atau masih memberontak terhadapnya? Apakah sudah bersih dari mazmumah-mazmumah lainnya atau masih lagi hasad dengki, benci membenci, minta puji, gila nama, tamak dan mementingkan diri sendiri?

Berjihad menurut Tafsir ialah:
1. Berperang dengan orang kafir dan munafik untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam.
2. Memerangi hawa nafsu dan syaitan.
3. Mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam.
4. Membenteras yang batil dan menegakkan yang hak.


Allah SWT menimbulkan persoalan (tanda tanya) pada kita umat Islam, sudahkah kita berjihad dan bersabar? Kalau belum kita lakukan itu maka jangan kita fikir bahawa kita akan dapat masuk syurga Allah di Akhirat kelak. Jika sudah, maka kita sebenarnya sedang fisabilillah. Berperang melawan kafir dan munafik adalah mudah.Yang susah ialah berperang dengan hawa nafsu dan syaitan. Kalau kita berjaya terhadap orang kafir tetapi tidak berjaya dengan nafsu, itu belum menjamin kita benar-benar bertaqwa.


Rasulullah SAW bersabda:
Kita baru balik dari peperangan kecil untuk masuk ke satu peperangan yang lebih besar. Sahabat bertanya: “Peperangan apa itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab, “Peperangan hati yakni melawan hawa nafsu.  (Riwayat Al Bukhari & Muslim)
Ketahuilah sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging maka baiklah seluruh jasad. Bila busuk daging itu, maka jahatlah seluruh jasad. ketahuilah, itulah hati (Riwayat Al Bukhari & Muslim)

Kalau hati masih berisi daki-daki dunia yang kotor itu, janganlah mimpi amalan-amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, sedekah, berdakwah, menuntut ilmu, menutup aurat, baca Quran, zikrullah dan lain-lain itu dapat menebus kita dari kebencian Allah dan api neraka. Cuba kita lihat firman Allah:
Hari itu (hari ketika meninggal dunia) harta dan anak tidak berguna lagi kecuali orang yang mengadap AKU membawa hati yang selamat (hati yang bersih dari segala kejahatannya dari sifat mazmumah).  (Asy Syuara ‘: 88-89)
Kalau sembahyang tidak khusyuk dan tiada rasa hamba, itu tanda masih menderhaka. Bukan amalan lahir sahaja yang dapat membawa seseorang kepada keredhaan Allah dan syurga-Nya, tetapi yang lebih penting ialah amalan hati. Sabda Rasulullah SAW:
Allah tidak memandang rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.  (Riwayat Muslim)
Kalau hati kita beramal soleh dan lahir kita juga turut beramal soleh (sebab amalan lahir mengikut amalan batin, umpama rakyat mengikut raja) itulah kesempurnaan amalan manusia yang dijamin dengan Syurga. Untuk meyakinkan, diperturunkan firman Allah yang menunjukkan amalan batin adalah wajib:

1. Perintah khusyuk dalam sembahyang, iaitu mengingati Allah: Apakah belum masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk mengingati Allah.   (Al Hadid : 16)


2. Perintah supaya sentiasa merasa diawasi oleh Allah: Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca satu ayat dari Al-Quran dan tidak mengerjakan suatu pekerjaan melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Allah biarpun sebesar zarah (atom) di bumi biarpun di langit. Tidak ada yang keci1 dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).  (Yunus: 61)


3. Perintah supaya takut kepada Allah: Janganlah kamu menyembah dua Tuhan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku sahaja kamu takut.  (An Nahl : 51)


4. Perintah supaya tawakkal kepada Allah: Hanya kepada Allah sahajalah orang-orang beriman harus bertawakkal.  (At Taubah: 51)


5. Perintah supaya syukur pada Allah: Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya.  (Al Baqarah: 172)


Kalau betul kita menghambakan diri pada Allah, kita mesti ada rasa syukur pada Allah. Umpama kita dapat hadiah dari raja. Kita mesti rasa terhutang budi dan berterima kasih padanya, dan bersyukur atas hadiah pemberiannya. Jangan pula asyik fikir hadiah itu sahaja hingga lupa pada yang memberi hadiah.


Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu maka dari Allahlah datangnya dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya pada-Nyalah kamu minta tolong.  (An Nahl: 53)


6. Perintah supaya sabar: Sabarlah kamu tetapi tidak mungkin kamu bersabar kecuali dengan pertolongan Allah.  (An Nahl: 127)



Antara kedua-dua amalan lahir dan amalan batin, Allah lebih mengutamakan amalan batin, sebab itu kalau ia diamalkan hendaklah benar-benar kerana dan untuk Allah, bukan untuk manusia. Sebab manusia tidak nampak. Kalau hati sudah betul, akan betullah lahirnya. Kalau lahir sahaja betul, hati belum tentu betul.


Jangan pula ada orang yang mengatakan: “Kalau begitu, kita jaga hati sudahlah, lahir tidak payah!” Ini lagi tidak betul. Sebab hati yang betul ialah hati yang taat pada perintah-perintah Allah lahir dan batin. Kalau amalan lahir tidak dibuat maknanya hati belum betul. Banyak berlaku dalam masyarakat umat Islam hari ini mereka yang beramal dengan hukum Islam tentang syariat lahir sahaja seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, zikrullah, sedekah, tutup aurat dan bersillaturahim. Namun amalan hati (batin) tidak dipedulikan. Inilah yang dimaksudkan sebagai derhaka dalam taat.



Ada dua jenis orang yang derhaka dalam taat:

1. Orang yang beramal dengan syariat lahir sahaja seperti sembahyang wajib dan sunat, puasa, haji, zakat, baca Quran, zikir dan wirid, di samping sedikit-sedikit amalan batin, tetapi kedua-dua tidak sempurna (iaitu tidak seperti yang dikehendaki Allah dan tidak semua perintah Allah yang dibuatnya).

Contohnya ialah orang-orang yang melakukan semua perintah fardhu di samping Fadhail-ul-A’mal (sembahyang sunat witir, dhuha, tahajud, puasa siang hari, membaca Quran, tahlil) tetapi masih terlibat dengan riba (makan dan memberi riba), mendedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah,mencerca, sombong, bakhil dan cinta dunia. Golongan ini adalah golongan derhaka dan tidak lepas dari api neraka.

Imam Al Ghazali berkata:
“Tidak mengapa kalau tidak boleh tahajjud malam (kerana ianya sunat), tetapi janganlah membuat dosa (haram) di siang hari kerana tidak ada gunanya bakti pada Allah di malam hari (tahajjud) tetapi derhaka (buat dosa-haram) di siangnya."
Orang ini bandingannya sama seperti seorang yang menanam padi di tengah-tengah lalang. Hasilnya padi akan dirosakkan oleh lalang dan tidak memperolehi apa-apa hasil pun. Atau seperti seorang yang memelihara kesihatan badannya dengan memakan ubat-ubatan yang perlu, tetapi dimakan juga racun. Jadi orang itu tidak sesihat seperti yang diharap-harapkan.


Tersebut sebuah hadis: Tahukuh kamu apa itu muflis? Mereka menjawab: Muflis pada kami mereka yang tidak mempunyai dirham dan sebarang benda.

Sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah yang datang pada hari Qiamat dengan sembahyang, puasa dan zakat tetapi dia juga pernah mencaci, menuduh orang buat jahat, dan mengambil hak orang. Dia juga pernah menumpahkan darah (membunuh orang) atau sekurang-kuranpya memukul. Oleh itu pahala ibadahnya akan diberi kepada orang yang dianiayai itu satu persatu. Dan kalau pahalanya tidak cukup, dosa-dosa orang itu pula diberikan kepadanya (jadilah ia muflis) dan akan dijerumuskan ke dalam Neraka. (Riwayat Muslim)
2. Orang yang taat dalam mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan batin. Lahirnya nampak sempurna tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak, panjang angan-angan, minta puji, cinta dunia, tamak, mementingkan diri sendiri, di samping tidak ada rasa hina diri, mengharap dan malu dengan Allah. Sebaliknya dia suka menghina orang yang tidak beribadah. Rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat.


Orang ini sebenarnya orang yang derhaka pada Allah dalam taatnya pada Allah. Hakikatnya dia adalah orang yang derhaka dan amalannya ditolak. Dia bukan orang yang dekat dengan Allah tetapi orang yang jauh daripada Allah dan hatinya terputus dengan Allah.


Telah sepakat ulama berkata:

i. Biar sedikit amal (yang fardhu sahaja) bersama hati rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa.
ii. Walau bagaimana banyak dan hebat sekalipun ibadah seseorang tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.


Orang yang beramal lahir tanpa amalan batin ini bandingannya seperti seorang pekerja di istana raja yang rajin dan taat melakukan kerja-kerja yang ditugaskan padanya di istana itu. Kerjanya beres dan lengkap mengatasi pekerja-pekerja lainnya. Maka timbullah bangganya dan sombongnya. Sudahlah sesama kawan-kawan dia berlagak angkuh, depan raja pun sudah tidak sopan lagi, tidak hormat dan tidak beradab. Dia rasa diri hebat dan besar kerana dia beranggapan raja tidak murka kepadanya sebab semua kerjanya beres.


Sebaliknya apa pandangan raja? Sekalipun dia tahu hambanya itu kerjanya beres tetapi kerana biadabnya itu, raja tidak akan sayang untuk membuangnya dari istana sebab dia seolah-olah hendak jadi raja (ataupun rasa setaraf dengan raja). Begitu juga jika seorang manusia yang beres melakukan perintah-perintah Allah tetapi hatinya tidak beradab dengan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki, nescaya Allah tetap murka dan akan dicampakkan ke dalam Neraka Allah. Firman Allah:
Adapun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksa yang pedih. (An Nisa’: 173)

Dan firman Allah dalam hadis Qudsi bermaksud:
Hai Isa, apabila Aku lihat di dalam hati hamba-Ku terdapat cinta yang suci pada-Ku tidak bercampur oleh sesuatu tamak, keinginan-keinginan yang berkenaan dengan Akhirat dan dunia maka ia akan Kuperlakukan sebagai penjaga cintanya itu.
Orang-orang yang benar-benar taat ialah orang yang hatinya cinta kepada Allah. Cinta sucinya akan membuatkan dia beramal semata-mata untuk Allah. Tidak bercampur dengan niat untuk untung dunia atau akhirat. Orang begini taatnya kepada Allah adalah taat yang suci. Dia tidak akan ujub dalam taatnya, tidak riak dalam taatnya, tidak buruk sangka dalam taatnya, tidak sombong dalam taatnya, tidak panjang angan-angan dalam taatnya, tidak rasa tuan dalam taatnya dan lain-lain.


Inilah orang yang dekat hatinya kepada Allah. Dia taat dalam taatnya. Jasad lahirnya dan jasad batinnya sama-sama tunduk menyembah Allah dengan taat, rasa hina diri, malu, rasa bersalah, rasa berdosa dengan Allah, tidak menghina hamba-hamba yang lain, tidak sombong dan tidak hasad. Ibadah-ibadahnya yang lahir (membuat yang fardhu dan sunat dan meninggalkan yang haram, syubahat dan makruh) dan ibadah batin itu betul-betul dilakukan sebagai satu persembahan yang sepatutnya dari seorang hamba kepada Tuhannya. Dia tidak mengharap apa-apa balasan di dunia dan di akhirat. Inilah sebenar-benarnya hamba Allah yang menjadi kecintaan Allah di akhirat nanti.


Firman Allah dalam surah Al Waaqiah:

Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). Dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang sentiasa mengalir. Dan buah-buahan yang lebat. Yang tidak bermusim (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya. Dan tilam-tilam yang tersedia di atas katil. Sesungguhnya Kami menciptakan untuk mereka (bidadari-bidadari) ciptaan yang unik (tidak beranak). Dan Kami jadikan mereka muda-muda belaka. Saling mencintai dan sebaya umurnya. Untuk golongan kanan (terdapat dua kumpulan). (Iaitu) kumpulan besar dari orang-orang yang terdahulu. Dan kumpulan besar dari orang-orang yang kemudian.   (Al Waaqiah: 27 -40)


Ada pula segolongan manusia yang taat dalam derhaka. Ini ialah orang yang tidak kuat beramal dengan syariat lahir disebabkan tidak kuatnya melawan hawa nafsu dan syaitan. Mereka hanya dapat membuat yang fardhu dan meninggalkan yang haram tetapi sunat-sunat Fadhoil-ul-A’mal sangatlah kurang. Dan kerana kekurangan ini mereka sentiasa merasa kekurangan diri, hina diri dan rasa bersalah, berdosa, mengharap amal yang sedikit itu diterima Allah, malu dan takut dengan Allah.


Mereka selalu menyesali diri yang tidak kuat melawan hawa nafsu dan rasa berdosa, rasa tidak sempurna khidmat sentiasa ada di hati mereka dan minta dikasihani oleh Allah. Sebab itu mereka selalu beristighfar. Golongan ini sebenarnya golongan yang taat. Mereka taat dalam derhaka. Mereka akan selamat di dunia dan di akhirat.


Bandingan mereka ialah seperti seorang pekerja istana raja yang tidak begitu rajin. Kerjanya setakat cukup, tidak lebih, kadang-kadang tersilap pula, cuai, sepatutnya dua jam, dibuat hanya satu jam. Kerana itu dia rasa bersalah, rasa kurang, tidak besar diri, tidak fikir lagi kesalahan orang, takut sesama kawan apalagi raja.


Dia bimbang kalau-kalau kekurangannya mendatangkan kemurkaan pada raja. Sebab itu bukan sahaja dengan raja dia sangat bersopan malah dia tidak berani pandai-pandai dalam istana, gerak-gerinya dijaga dalam bimbang dan sentiasa mengharapkan kemaafan dan keampunan raja. Raja menyedari keadaan ini, dengan sebab itu raja memaafkan kekurangan hambanya itu dan hamba itu akan tetap diterima sebagai hamba di dalam istananya. Begitulah kalau hamba Allah yang sentiasa sedar diri dan insaf kelemahannya, sentiasa taubat, takut, malu dan rasa hina diri pada Allah dan berakhlak pula sesama manusia. Dia akan mendapat keampunan dan syurga Allah di Akhirat nanti.


Firman Allah:

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh maka mereka akan masuk syurga dan tidak dianiaya sedikit pun.  (Mariam: 60)


Hidup kita ialah untuk menghambakan diri pada Allah. Itulah jalan keselamatan seorang manusia. Dua puluh empat jam kita mesti beribadah pada Allah, lahir dan batin. Firman Allah:

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku. (Adz Dzaariyat: 56)


Mungkin ibadah lahir ada juga rehatnya tetapi ibadah batin iaitu hati kita, mesti beramal terus menerus. Mesti sentiasa mengekalkan rasa kehambaan pada Allah, rasa hina, rasa malu, rendah diri, takut, bimbang, ingin berkhidmat, rasa berdosa, rasa lemah dan rasa kurang. Perasaan-perasaan (zauk) ini hendaklah kita adakan dalam hati sepanjang masa.


Bagi kita orang awam ini mungkin rasa itu belum ada di hati maka hendaklah kita mengusahakannya yakni dengan memikirkan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah. Lihatlah dan fikirkan tanda-tanda kebesaran Allah pada alam. Dari situ datanglah perasaan kehambaan kita itu. Pada peringkat awal perlu dipaksa-paksa supaya perasaan itu ada. Bagi orang yang telah bersih hatinya mereka tidak payah memikirkannya lagi. Perasaan itu sedia ada dan sentiasa ada dalam hati mereka. Bukan sahaja waktu sembahyang, waktu membaca Quran, berpuasa, waktu berzikir dan lain-lainnya, malah di waktu berkhidmat di luar ibadah, hati mereka tetap kepada Allah SWT.


Pendek kata perasaan kehambaan itu telah benar-benar dihayati oleh lahir dan batin mereka sepanjang masa. Macamlah seorang pekerja istana hatinya sentiasa terisi dengan perasaan kehambaan sama ada ketika dia bekerja atau ketika dia berehat-rehat, waktu makan, minum dan waktu tidur. Bukannya waktu kerja dia merasa dia “kuli”, tetapi waktu rehat dia rasa dia tuan dan berlagak macam tuan.


Orang yang kenal Allah akan benar-benar merasa dia hamba Allah. Hatinya tidak merasa dia lebih, dia pandai, dia hebat, dia besar, dia kuat, dia segala-galanya. Sebab kalau dia pandai pun dia tetap hamba, dia rasa dia hamba, ingin berkhidmat sebagai hamba, hidupnya seperti hamba dan bergaya sebagai hamba. Hamba kepada Allah, bekerja untuk Allah, mengabdikan diri kepada Allah, berjuang membela agama Allah, berkorban untuk Allah dan berperang kerana Allah dan rela mati kerana Allah.


Sesiapa sahaja musuh Allah adalah musuhnya, akan ditentang sehebat-hebatnya. Dan sesiapa sahaja “orang-orang Allah” adalah orang-orangnya maka digauli penuh mesra dan kasih sayang. Inilah jiwa yang merdeka bebas dari ikatan dunia. Jiwa yang tidak akan diperhambakan oleh dunia kerana jiwanya diserah bulat-bulat pada Allah. Banyak berlaku di kalangan kita, mereka yang merasa hamba Allah ketika waktu beribadah, sembahyang, puasa, waktu mengerjakan haji, atau waktu membaca Quran, berwirid dan zikir sahaja.


Di luar dari waktu itu, waktu makan, waktu tidur, waktu membasuh, waktu menyapu halaman dan lain-lain, tidak rasa diri sebagai hamba. Kita rasa itu urusan kita, kejayaan kita adalah untuk kita dan kerana kita. Kita perturutkan selera kita, pendapat kita dan cara kita dalam melaksanakannya. Kita tidak rasa kita berkhidmat untuk dan kerana Allah lagi. Kita tidak terasa hubungan dengan Allah lagi, kita tidak rasa malu dengan Allah dan hina diri lagi. Mungkin kalau ditanya orang, kita akan menjawab kita bekerja untuk Allah tetapi itu akal, hakikatnya hati kita tidak merasa begitu. Perasaan kita bukan begitu (zauk tidak begitu).


Hati rasa tuan, rasa kita punya, kuasa kita, kejayaan kita, kelebihan kita dan kerana kita. Sebab itu kita ikut selera kita dalam tindakan hingga membelakangkan peraturan hidup dari Tuhan. Orang begini sebenarnya bukan menghambakan diri pada Allah, dan tidak bertuhankan Allah. Dia bertuhankan hawa nafsu dan menghambakan diri untuk nafsu.




S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T.



Sumber : http://www.usahataqwa.com/taqwa/derhaka-dalam-taat.html

20120324

Perkara sunat dilakukan pada hari Jumaat



1. Mandi
Bagi kita di Malaysia dan penduduk negara lain yang mempunyai cuaca serupa, mandi ialah suatu rutin hidup. Namun, mandi boleh menjadi amal soleh jika kita meniatkannya semata-mata kerana Allah s.w.t. Contohnya ialah mandi pada hari Jumaat dengan maksud mematuhi galakan Rasulullah s.a.w selaras dengan sabda baginda yang bermaksud, "Apabila datang kepada kamu hari Jumaat, maka mandilah."   (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).



2. Menghias diri, memakai pakaian yang baik dan memakai wangi-wangian. Hari Jumaat umpama hari raya untuk minggu tersebut. Justeru, kita disunatkan menghias diri dengan kadar yang dibenarkan oleh syarak dengan memakai pakaian yang baik dan berwangi-wangian. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang telah ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu."   (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Hakim)



Sekiranya kita mampu pakailah baju berwarna putih pada hari Jumaat sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya ia adalah pakaian kamu yang paling baik dan kafankanlah orang-orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu dengannya."


3. Memotong kuku
Islam amat mementingkan kebersihan dan kekemasan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Lima perkara daripada fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Persoalan kebersihan hendaklah diberi perhatian pada sepanjang masa terutama pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut kita akan pergi beramai-ramai ke masjid dan berjumpa dengan saudara seagama. Sudah tentu kita tidak mahu dipandang hina oleh orang lain hanya kerana kita tidak mahu menjaga kebersihan dan kekemasan diri.



4. Membaca Surah al-Kahfi
Sunat membaca Surah al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antara kedua-dua Jumaat berkenaan." (Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Sabda Rasulullah s.a.w lain yang bermaksud, "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antaranya dan Baitul `Atiq." (Riwayat Al-Baihaqi)



5. Memperbanyak doa
Doa adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. Kita mempunyai ramai musuh sama ada di dalam atau luar diri kita, di samping berhadapan dengan banyak cabaran sepanjang hidup kita. Sehubungan itu, kita amat mengharapkan pertolongan dan rahmat daripada Allah s.w.t untuk menghadapi segala ujian ini. Antaranya dengan cara berdoa.

Kita digalakkan untuk banyak berdoa, apatah lagi pada malam dan hari Jumaat terutama sekali semasa waktu-waktu mustajab berdoa. Di antara hadis Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini ialah sabda baginda yang bermaksud, "Waktu mustajab berdoa itu ialah masa di antara imam duduk sehingga selesai solat." (Riwayat Muslim).



6. Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
Pada hari Jumaat, kita juga disunatkan supaya banyak berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sabda baginda yang bermaksud, "Sesungguhnya hari kamu yang paling utama ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan di hadapanku."






S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T.



Sumber : Normah Jeyanamee Abdul Kadar

20120228

WANITA SOLEHAH ITU LEBIH BAIK DARIPADA BIDADARI SYURGA


Wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.



Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW juga berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka, cthnya seperti Uwais Al-Qarni.



Salah satu tanda kasih Baginda SAW terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah SAW sendiri menjadikan diri dan keluarga baginda suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.



Rasulullah SAW bersabda,
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)



Lagi sabda Rasulullah SAW,
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)



Tapi betul ke wanita solehah itu lebih baik daripada bidadari syurga?
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya (di dalam sebuah hadis yang panjang):
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”

 Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)



Terkejut bila membaca hadis ni dan ingin berkongsi bersama rakan-rakan lain. Sungguh tinggi darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Semoga hadis ini menjadi inspirasi bagi kita semua dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. InsyaAllah..



Tapi, bagaimana yang dikatakan wanita solehah itu?
 Ikuti kisah berikut, semoga kita sama-sama beroleh pengajaran.



Seorang gadis kecil bertanya ayahnya “ayah ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?”
Si ayah pun menjawab “anakku, seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata, wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil, tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi, itulah yang terbaik”
Si ayah terus menyambung
 “muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran”



Berdasarkan ayat 31, surah An Nurr, Abdullah Ibn Abbas dan lain-lainya berpendapat, seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah, dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram.
(As syeikh said hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)



“Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”
(surah Al Ahzab:32)



“lantas apa lagi ayah?”sahut puteri kecil terus ingin tahu.
“ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya, dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi”
“dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”


Setelah itu si anak bertanya “Siapakah yang memiliki kriteria seperti itu ayah? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampu dan layakkah saya ayah?”
Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata “Pelajarilah mereka! Supaya kamu berjaya nanti. INSYA ALLAH kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak, malah semua wanita boleh”


Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH.


“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”
(riwayat Al Bazzar)


CARA MENUTUP AURAT MENURUT ISLAM


1. Pakaian itu mestilah menutup aurat
Rasulullah saw bersabda :

Telah berkata Aisyah r.a “ Sesungguhnya, Asma’ binti Abu Bakar menemui Nabi saw dengan memakai busana yang nipis ” Maka nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’ , sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini, sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya”


2. Pakaian itu tidak terlalu nipis sehingga tampak bayangan tubuh badan dari luar

 “Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah : kaum yang memegang pecut bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan), orang perempuan yang berpakaian tetapi telanjang bagaikan merayu-rayu melenggok-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta yang mereng. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga dapat dicium dari jarak yang sangat jauh”
(Riwayat Muslim)



3. Pakaian itu tidak ketat atau sempit, tetapi longgar atau selesa dipakai. Ia menutup bahagian-bahagian bentuk tubuh yang menggiurkan nafsu lelaki dan ia menutup aspek kehaiwanan dari insan itu.

Dalam sebuah riwayat dari Abdullah bin Abi Salamah bahawa Umar Bin Khattab r.a menghadiahkan kepada seseorang dengan pakaian nipis buatan Mesir Lama, kemudian berkata , “Jangan dipakaikan kepada isteri-isteri kamu!” Lalu seseorang berkata “ Ya Amirul Mukminin aku telah memakainya untuk isteriku, kemudian memutarkan badannya tetapi tidak kelihatan auratnya .” selanjutnya Umar berkata, “Memanglah auratnya tidak nampak, tetapi bentuk tubuhnya nampak”


4. Warna pakaian itu suram atau gelap, seperti warna hitam atau kelabu asap atau perang sehingga tiada bernafsu lelaki melihatnya ( terutamanyya pakaian seperti jilbab atau abaya) . Menurut Ibnu Kathir di dalam tafsirnya pakaian wanita-wanita pada zaman Nabi saw ketika mereka keluar rumah berwarna hitam)


5. Pakaian itu tidak sekali-kali disemerbakkan dengan bau-bauan yang harum, demikian juga tubuh badan wanita itu, kerana bau-bauan ini ada pengaruhnya atas nafsu kelamin lelaki yang ajnabi. Perempuan yang memakai bau-bauan ketika keluar rumah sehingga lelaki mencium baunya disifatkan oleh Rasulullah saw sebagai zaniyah, yakni pelacur atau penzina.
“Wanita apabila memakai wangi-wangian , kemudian berjalan melintasi kaum lelaki maka dia itu begini dan begini iaitu pelacur ” (Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi)


6. Pakaian itu tidak bertashabbuh dengan pakaian lelaki yakni tiada meniru –niru atau menyerupai pakaian lelaki
Telah berkata Ibnu Abbas :

 “Rasulullah saw telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki”
(Riwayat Bukhari)


7. Pakaian itu tiada bertashabbuh dengan pakaian permpuan-perempuan kafir dan musyrik

8. Pakaian itu bukanlah libasu sh-shuhrah, yakni pakaian untuk bermegah-megah , untuk menunjuk-nunjuk atau bergaya.


20120117

:: MENJAWAB ALASAN MEREKA YANG TAK NAK MENUTUP AURAT ::


Sejak akhir-akhir ini, saya seringkali mendapat pertanyaan yang sama mengenai isu-isu aurat. Bagaimana hendak menjawab alasan mereka yang tak nak menutup aurat? Bagaimana hendak menarik mereka memakai tudung? Bagaimana nak memberi kefahaman kepada mereka tentang aurat? Dan lain-lain lagi.

Di sini saya berusaha mengumpul alasan-alasan dan hujah-hujah balas buat si pelaku dedah aurat. Terima kasih kepada sumber berkenaan, boleh rujuk untuk jawapan penuh. Dan artikel ini bukan sahaja tertumpu pada isu bertudung, malah juga buat muslimah yang bertudung pendek, memakai sendat serta kaum muslimin sendiri yang mendedah aurat. InsyaAllah semoga bermanfaat buat mereka yang tercari-cari jawapan mengenai isu ini.


1. Walaupun dedah aurat, diri masih menjaga maruah dan tidak melakukan perkara tak senonoh?
”Janganlah nilai orang dari luarannya. Don’t judge a book by its cover!”
“Walaupun tidak pakai tudung, saya tetap masih jaga solat dan menjaga tingkah laku”
Jawapan:
Adakah anda mendakwa diri anda mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri tanpa perlu menutup aurat? Tetapi adakah anda berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat aurat anda mempunyai hati sesuci dan iman setinggi anda juga?

Langsungkah mereka tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan anda? Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat.

Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling.

.
2. Perempuan yang bertudung lebih teruk daripada tak bertudung?
“Ala… perempuan pakai tudung pun berperangai buruk!”
“Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung!”
“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”
“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”
Jawapan:
Ungkapan anda ini seolah-olah sedang memperlekehkan insan yang sedang berusaha mentaati perintah Allah (dalam bab tutup Aurat). Apakah anda perasan bahawa anda sudah lebih baik berbanding insan yang menutup aurat tersebut apabila anda berani melafazkan ungkapan seperti itu, sedangkan anda sendiri membiarkan aurat anda terbuka?

Salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Nabi bersabda : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu dia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya. (HR At-Tirmidzi)
.

3. Tidak mahu hipokrit bila bertudung?
“Bertudung ni perlukan keikhlasan…”
“Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh.”
“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”
Jawapan:
Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah WAJIB untuk menutup aurat tidak kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Sekiranya ikhlas dijadikan alasan maka, ramai diluar sana tidak perlu solat 5 waktu kerana sukar mencapai tahap keikhlasan yang ingin dicapai.

Perlu diingatkan, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI.

Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
.

4. Menunggu seru untuk bertudung?
“Biarlah ianya datang daripada saya sendiri, bukan dipaksa sesiapa. Bila tiba masa, InsyaAllah saya bertudung”
“Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang”
“InsyaAllah, apabila sudah berkahwin barulah saya bersedia”
Jawapan:
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi

.
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” 

(Surah an-Nur ayat 31)
credit kepada : PakarHowTo

20120116


TUJUH SENI MEMAKSIMUMKAN CAHAYA DIRI ANDA


- Teruslah Berbuat Baik Tanpa Pernah Menghitungnya
 Lakukan kebaikan layaknya menulis di atas pasir dan pahatlah di batu untuk setiap kesalahan yang anda lakukan.
Ertinya, lupakan setiap kebaikan kepada orang lain, tak perlu menghitung! :-)
Sikap seperti ini akan melatih keikhlasan, dan pada saat terbiasa, anda akan merasakan erti puas yang sejati.



- Merendahlah Diri Agar anda Menjadi Tinggi
 Orang yang merendah diri disenangi orang lain.
Lain halnya dengan orang yang sombong, kerendahan hati merupakan perwujudan dari toleransi dan memiliki nilai yang tinggi.
Kerendahan hati dan kedamaian saling bertautan.
Percayalah pada diri sendiri, dan singkirkan keinginan untuk selalu ingin membuktikan pada orang lain.



 - Jagalah Kemurnian
 Tampil apa adanya dan jadilah diri sendiri.
Untuk memiliki daya tarik kita tidak perlu menjadi orang lain.
Menjadi diri sendiri jauh lebih bernilai.




 - Jadilah Orang Yang Penuh Minat
Apa yang anda katakan pada diri sendiri tentang kehidupan dan diri anda sendiri, dari hari ke hari, dapat memberikan kesan yang luar biasa.
Sepanjang waktu, lihatlah diri anda sendiri sebagai peribadi yang menarik.
Pertahankan perasaan itu sejelas mungkin dalam fikiran.
Dengan sendirinya, alam akan menarik segala hal yang penting untuk menyempurnakan perasaan dan diri sendiri.
Jadilah orang yang selalu ceria, penuh harapan, dan buat dunia ini terpikat pada kita.




 - Wajah Ceria
Tertawa itu sihat.
Buat wajah anda selalu ceria.
Saat kita tersenyum, otak akan bereaksi dan menghasikan endorphin (zat alami yang memindahkan rasa sakit).
Selain itu, senyuman akan membuat anda bisa rileks.
Senyuman juga akan menebarkan kegembiraan pada orang lain.
Tekankan dalam fikiran, saat anda bersama orang lain, bahwa senyuman dapat memperpendek jarak antara orang lain.




- Keinginan dan Hasrat
Dua hal ini merupakan kunci yang melahirkan sukses.
Keinginan dan hasrat dapat mendatangkan wang, kekuatan dan pengaruh.
Hal besar tak akan dapat dicapai tanpa keinginan.
Yakin selalu pada apa yang anda kerjakan.
Kerjakan tiap pekerjaan anda dengan penuh cinta.
Masukan keinginan dalam peribadi anda, maka ia akan menciptakan hal yang luar biasa buat anda sendiri.




- Tutur Kata
Tingkah laku, kesopanan dan kebaikan bisa membuat orang lain percaya pada kita.
Tutur kata yang baik akan membuat orang lain merasa senang dengan kita.
Tutur kata merupakan sumber kesenangan, memberikan rasa aman, dan ini dilakukan dengan menunjukan penghormatan pada orang lain.
Bersikap sopanlah pada setiap orang yang anda kenal, tidak peduli status dan kedudukan mereka.




KEMENANGAN MEMERLUKAN KESABARAN
Sahabatku, perlu kesabaran dalam belajar, perlu kesabaran dalam bersikap baik, perlu kesabaran dalam kujujuran, perlu kesabaran dalam setiap kebaikan agar kita mendapat kemenangan.



INGATLAH
Org tua dan org yg kita cintai tidak selamanya dapat mengangkatmu saat kau jatuh, suatu saat nanti, kau harus berdiri sendiri maka jangan pernah kau gantungkan hidupmu pada orang lain, jadilah dirimu sendiri..
Kau harus tabah dan menjadi muslim yang kuat, yang tetap tabah dan istiqomah kerana kau tahu ada Allah disampingmu, maka kau akan dapati dirimu tetap berjalan menyusuri kehidupan saat yang lain memutuskan untuk menyerah kalah.



( Ummu zidan Al Fathi II & III)