20120405

MENATAP WAJAH ALLAH AZZA WA JALLA DI SYURGA

Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Setiap yang berbuat dosa pasti akan dibalas siksaan neraka. Setiap yang berbuat baik dan taat pada Allah pasti akan dimasukkan ke dalam syurga. Di sini ana ingin berkongsi sebuah kisah yang amat membuatkan hati ana bergetar hingga menitis air mata kerana menginginkan kenikmatan ini. Ya, siapa yang tidak mahu melihat Allah, tuhan yang telah mencipta Adam dari tanah, jin dari api dan malaikat dari cahaya, tuhan yang berdiri dengan sendirinya.


Dari Abu Hurairah R.A, para manusia bertanya kepada Rasulullah S.A.W,
“Ya Rasulullah, apakah kita semua dapat melihat Allah pada hari kiamat nanti?” Nabi menjawab, “Apakah kamu ragu-ragu dapat melihat bulan pada waktu purnama, melihat matahari apabila tidak dilindungi awan?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kamu semua akan melihat Allah sebagaimana kamu jelas melihat bulan purnama dan matahari yang tidak dilindungi awan”.

Rasulullah pernah bertanya kepada Jibril,
“Hai Jibril, pernahkah kamu melihat Allah?” Jawab Jibril, “Bahawa di antara aku dan Allah ada 79 hijab yang terdiri dari lapisan-lapisan cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, maka akan terbakarlah aku memandangNya. Sedangkan antara engkau dan Allah ada 71 lapisan hijab dari cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, engkau akan terbakar pula memandangnya.”

Dari sini kita dapat lihat amat mustahil untuk melihat wajah Allah di dunia ini. Nabi Musa A.S pernah meminta kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini membuktikan gunung yang kuat lagi kukuh akan hancur bila Allah menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah.


Diriwayatkan setelah para penghuni syurga selesai menikmati susana paling indah dan berbeza pada hari pertama di syurga, lalu mereka dipakaikan dengan pakaian yang serba indah yang dihadiahkan oleh Allah. Setelah itu Allah memerintahkan malaikat Jibril menghantar bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Kemudian muncul pula burung ajaib yang rupanya terlalu cantik terbang di udara taman syurga.


Burung ajaib itu mengembangkan sayapnya maka terperciklah bau-bauan harum semerbak merenjis pada tubuh dan pakaian ahli syurga. Maka bertambah harum dan nyaman susana waktu itu. Tercengang para penghuni syurga melihat keajaiban yang berlaku. Ia sebagai balasan kepada janji Allah untuk orang yang beriman. Seketika kemudian terdengar satu suara yang paling ganjil dan menakjubkan memenuhi ruang taman syurga yang luas. Suara itu merupakan kalimah dari Allah S.W.T sendiri yang pertama kali didengar oleh manusia. Firman Allah,

“Apakah lagi permintaan kamu kepada Aku wahai hamba-hambaKu? Mintalah kepada Aku dan Aku akan memenuhi kehendak kamu semuanya”.

Semua penghuni syurga ketika itu tergamam, terdiam, tercengang dan terperanjat apabila mendengar kalimah dari Allah. Ia suatu nikmat yang paling berharga. Kemudian seluruh manusia yang memenuhi ruang taman syurga itu berkata,

“Wahai tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah sempurnakan janjiMu tentang kenikmatan yang akan Engkau anugerahkan ke atas hamba-hambaMu yang mensyukuri setiap nikmat di dunia dahulu. Demikian pun wahai tuhan kami, izinkanlah kami untuk melihat wajahMu di hari akhirat yang telah Engkau janjikan ini”.

Seketika kemudian secara tiba-tiba, muncullah sebuah mimbar yang amat ajaib di taman syurga. Lalu muncul malaikat Jibril membimbing tangan Nabi Musa naik ke atas mimbar yang indah itu untuk membacakan kitab Taurat supaya dapat dihayati oleh seluruh umat manusia di dalam syurga. Selesai membaca kitab Taurat dengan bacaan yang lembut itu, maka Jibril menjemput pula Nabi Isa memperdengarkan bacaan kitab Injil yang pernah diturunkan Allah kepada beliau.


Kemudian Jibril mempersilakan Nabi Daud membacakan kitab Zabur dan beliau membaca dengan suara yang enak sekali didengar. Selesai kitab Zabur dibacakan, Jibril akhirnya menjemput junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ke atas mimbar untuk membacakan kitab suci Al-Quran. Rasulullah membaca dengan suara yang paling merdu dan lembut serta tak pernah didengari oleh sesiapa pun sewaktu di dunia dahulu sehinggakan semua penghuni syurga terpegun.


Setelah selesai pembacaan keempat-empat kitab suci yang pernah diturunkan kepada umat manusia di dunia dahulu, maka terangkatlah suatu hijab (halangan) di langit syurga ketika itu. Apabila terbuka sahaja hijab itu, maka keluarlah angin yang lembut bersama sejenis bauan yang sangat harum dan menakjubkan. Sekalian manusia di syurga berasa terkejut melihat suatu kejadian paling ajaib yang tak pernah terfikir oleh akal.


Kemudian terbuka lagi sebuah hijab yang lebih besar iaitu hijab yang menghalang setiap makhluk melihat wajah Allah S.W.T. Di sinilah saat paling nikmat dan paling berharga bagi setiap penghuni syurga kerana di sinilah tempat pertemuan yang sebenarnya antara manusia dengan Allah. Allah lalu memberi salam kepada sekalian manusia dan seluruh manusia menyambut salam dengan rasa nikmat dan syukur tak terperi. Berkatalah seluruh manusia kepada Allah yang Maha Pencipta, yang Maha Berkuasa, yang Maha Pengasih dan Penyayang,

“Wahai tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini”.

Allah lalu berfirman,

“Wahai hamba-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan suatu hari untuk kamu semua rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat kamu semua berbuat ibadat, tetapi ia merupakan tempat mulia untuk kamu merasa kesenangan nikmat yang berkekalan. Walaupun begitu, demi keagunganKu, Aku izinkan kamu semua sujud sekali kepadaKu pada hari ini”.

Dari Shuhaib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda,

“Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, Allah berfirman, “Apakah kalian ingin tambahan sesuatu dariKu?” Kata mereka, “Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?” Lalu Allah membuka hijabNya, maka tidak ada pemberian yang paling mereka cintai melainkan melihat wajah Allah Azza wa Jalla. Kemudian Rasulullah S.A.W membaca ayat ini, “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” [Yunus: 26]

Melihat Allah S.W.T merupakan kenikmatan yang paling dicintai bagi penghuni syurga. Selain itu, keistimewaan syurga Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah.



PERJALANAN MENUJU SYURGA ITU MASIH JAUH




S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T.


Sumber: http://www.syahirul.com/

20120401

GHURUR : DERHAKA dalam TAAT


ALLAH SWT berfirman dalam Surah Ali Imran:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga padahal Allah belum mengenali mereka yang berjihad antaramu dan belum juga mengenali mereka yang sabar.  (Ali Imran : 142)
Marilah kita tanyai diri kita sendiri: “Sudahkah aku melakukan jihad yang besar itu? Atau sudahkah aku perangi hawa nafsuku?” Untuk menjawabnya, tiliklah ke dalam hati kita apakah sentiasa ingat Allah atau selalu lalai? Apakah sudah cinta Allah atau lebih cinta pada dunia? Apakah sudah sabar atas ujian Allah atau masih memberontak terhadapnya? Apakah sudah bersih dari mazmumah-mazmumah lainnya atau masih lagi hasad dengki, benci membenci, minta puji, gila nama, tamak dan mementingkan diri sendiri?

Berjihad menurut Tafsir ialah:
1. Berperang dengan orang kafir dan munafik untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam.
2. Memerangi hawa nafsu dan syaitan.
3. Mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam.
4. Membenteras yang batil dan menegakkan yang hak.


Allah SWT menimbulkan persoalan (tanda tanya) pada kita umat Islam, sudahkah kita berjihad dan bersabar? Kalau belum kita lakukan itu maka jangan kita fikir bahawa kita akan dapat masuk syurga Allah di Akhirat kelak. Jika sudah, maka kita sebenarnya sedang fisabilillah. Berperang melawan kafir dan munafik adalah mudah.Yang susah ialah berperang dengan hawa nafsu dan syaitan. Kalau kita berjaya terhadap orang kafir tetapi tidak berjaya dengan nafsu, itu belum menjamin kita benar-benar bertaqwa.


Rasulullah SAW bersabda:
Kita baru balik dari peperangan kecil untuk masuk ke satu peperangan yang lebih besar. Sahabat bertanya: “Peperangan apa itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab, “Peperangan hati yakni melawan hawa nafsu.  (Riwayat Al Bukhari & Muslim)
Ketahuilah sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging maka baiklah seluruh jasad. Bila busuk daging itu, maka jahatlah seluruh jasad. ketahuilah, itulah hati (Riwayat Al Bukhari & Muslim)

Kalau hati masih berisi daki-daki dunia yang kotor itu, janganlah mimpi amalan-amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, sedekah, berdakwah, menuntut ilmu, menutup aurat, baca Quran, zikrullah dan lain-lain itu dapat menebus kita dari kebencian Allah dan api neraka. Cuba kita lihat firman Allah:
Hari itu (hari ketika meninggal dunia) harta dan anak tidak berguna lagi kecuali orang yang mengadap AKU membawa hati yang selamat (hati yang bersih dari segala kejahatannya dari sifat mazmumah).  (Asy Syuara ‘: 88-89)
Kalau sembahyang tidak khusyuk dan tiada rasa hamba, itu tanda masih menderhaka. Bukan amalan lahir sahaja yang dapat membawa seseorang kepada keredhaan Allah dan syurga-Nya, tetapi yang lebih penting ialah amalan hati. Sabda Rasulullah SAW:
Allah tidak memandang rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.  (Riwayat Muslim)
Kalau hati kita beramal soleh dan lahir kita juga turut beramal soleh (sebab amalan lahir mengikut amalan batin, umpama rakyat mengikut raja) itulah kesempurnaan amalan manusia yang dijamin dengan Syurga. Untuk meyakinkan, diperturunkan firman Allah yang menunjukkan amalan batin adalah wajib:

1. Perintah khusyuk dalam sembahyang, iaitu mengingati Allah: Apakah belum masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk mengingati Allah.   (Al Hadid : 16)


2. Perintah supaya sentiasa merasa diawasi oleh Allah: Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca satu ayat dari Al-Quran dan tidak mengerjakan suatu pekerjaan melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Allah biarpun sebesar zarah (atom) di bumi biarpun di langit. Tidak ada yang keci1 dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).  (Yunus: 61)


3. Perintah supaya takut kepada Allah: Janganlah kamu menyembah dua Tuhan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku sahaja kamu takut.  (An Nahl : 51)


4. Perintah supaya tawakkal kepada Allah: Hanya kepada Allah sahajalah orang-orang beriman harus bertawakkal.  (At Taubah: 51)


5. Perintah supaya syukur pada Allah: Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya.  (Al Baqarah: 172)


Kalau betul kita menghambakan diri pada Allah, kita mesti ada rasa syukur pada Allah. Umpama kita dapat hadiah dari raja. Kita mesti rasa terhutang budi dan berterima kasih padanya, dan bersyukur atas hadiah pemberiannya. Jangan pula asyik fikir hadiah itu sahaja hingga lupa pada yang memberi hadiah.


Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu maka dari Allahlah datangnya dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya pada-Nyalah kamu minta tolong.  (An Nahl: 53)


6. Perintah supaya sabar: Sabarlah kamu tetapi tidak mungkin kamu bersabar kecuali dengan pertolongan Allah.  (An Nahl: 127)



Antara kedua-dua amalan lahir dan amalan batin, Allah lebih mengutamakan amalan batin, sebab itu kalau ia diamalkan hendaklah benar-benar kerana dan untuk Allah, bukan untuk manusia. Sebab manusia tidak nampak. Kalau hati sudah betul, akan betullah lahirnya. Kalau lahir sahaja betul, hati belum tentu betul.


Jangan pula ada orang yang mengatakan: “Kalau begitu, kita jaga hati sudahlah, lahir tidak payah!” Ini lagi tidak betul. Sebab hati yang betul ialah hati yang taat pada perintah-perintah Allah lahir dan batin. Kalau amalan lahir tidak dibuat maknanya hati belum betul. Banyak berlaku dalam masyarakat umat Islam hari ini mereka yang beramal dengan hukum Islam tentang syariat lahir sahaja seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, zikrullah, sedekah, tutup aurat dan bersillaturahim. Namun amalan hati (batin) tidak dipedulikan. Inilah yang dimaksudkan sebagai derhaka dalam taat.



Ada dua jenis orang yang derhaka dalam taat:

1. Orang yang beramal dengan syariat lahir sahaja seperti sembahyang wajib dan sunat, puasa, haji, zakat, baca Quran, zikir dan wirid, di samping sedikit-sedikit amalan batin, tetapi kedua-dua tidak sempurna (iaitu tidak seperti yang dikehendaki Allah dan tidak semua perintah Allah yang dibuatnya).

Contohnya ialah orang-orang yang melakukan semua perintah fardhu di samping Fadhail-ul-A’mal (sembahyang sunat witir, dhuha, tahajud, puasa siang hari, membaca Quran, tahlil) tetapi masih terlibat dengan riba (makan dan memberi riba), mendedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah,mencerca, sombong, bakhil dan cinta dunia. Golongan ini adalah golongan derhaka dan tidak lepas dari api neraka.

Imam Al Ghazali berkata:
“Tidak mengapa kalau tidak boleh tahajjud malam (kerana ianya sunat), tetapi janganlah membuat dosa (haram) di siang hari kerana tidak ada gunanya bakti pada Allah di malam hari (tahajjud) tetapi derhaka (buat dosa-haram) di siangnya."
Orang ini bandingannya sama seperti seorang yang menanam padi di tengah-tengah lalang. Hasilnya padi akan dirosakkan oleh lalang dan tidak memperolehi apa-apa hasil pun. Atau seperti seorang yang memelihara kesihatan badannya dengan memakan ubat-ubatan yang perlu, tetapi dimakan juga racun. Jadi orang itu tidak sesihat seperti yang diharap-harapkan.


Tersebut sebuah hadis: Tahukuh kamu apa itu muflis? Mereka menjawab: Muflis pada kami mereka yang tidak mempunyai dirham dan sebarang benda.

Sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah yang datang pada hari Qiamat dengan sembahyang, puasa dan zakat tetapi dia juga pernah mencaci, menuduh orang buat jahat, dan mengambil hak orang. Dia juga pernah menumpahkan darah (membunuh orang) atau sekurang-kuranpya memukul. Oleh itu pahala ibadahnya akan diberi kepada orang yang dianiayai itu satu persatu. Dan kalau pahalanya tidak cukup, dosa-dosa orang itu pula diberikan kepadanya (jadilah ia muflis) dan akan dijerumuskan ke dalam Neraka. (Riwayat Muslim)
2. Orang yang taat dalam mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan batin. Lahirnya nampak sempurna tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak, panjang angan-angan, minta puji, cinta dunia, tamak, mementingkan diri sendiri, di samping tidak ada rasa hina diri, mengharap dan malu dengan Allah. Sebaliknya dia suka menghina orang yang tidak beribadah. Rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat.


Orang ini sebenarnya orang yang derhaka pada Allah dalam taatnya pada Allah. Hakikatnya dia adalah orang yang derhaka dan amalannya ditolak. Dia bukan orang yang dekat dengan Allah tetapi orang yang jauh daripada Allah dan hatinya terputus dengan Allah.


Telah sepakat ulama berkata:

i. Biar sedikit amal (yang fardhu sahaja) bersama hati rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa.
ii. Walau bagaimana banyak dan hebat sekalipun ibadah seseorang tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.


Orang yang beramal lahir tanpa amalan batin ini bandingannya seperti seorang pekerja di istana raja yang rajin dan taat melakukan kerja-kerja yang ditugaskan padanya di istana itu. Kerjanya beres dan lengkap mengatasi pekerja-pekerja lainnya. Maka timbullah bangganya dan sombongnya. Sudahlah sesama kawan-kawan dia berlagak angkuh, depan raja pun sudah tidak sopan lagi, tidak hormat dan tidak beradab. Dia rasa diri hebat dan besar kerana dia beranggapan raja tidak murka kepadanya sebab semua kerjanya beres.


Sebaliknya apa pandangan raja? Sekalipun dia tahu hambanya itu kerjanya beres tetapi kerana biadabnya itu, raja tidak akan sayang untuk membuangnya dari istana sebab dia seolah-olah hendak jadi raja (ataupun rasa setaraf dengan raja). Begitu juga jika seorang manusia yang beres melakukan perintah-perintah Allah tetapi hatinya tidak beradab dengan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki, nescaya Allah tetap murka dan akan dicampakkan ke dalam Neraka Allah. Firman Allah:
Adapun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksa yang pedih. (An Nisa’: 173)

Dan firman Allah dalam hadis Qudsi bermaksud:
Hai Isa, apabila Aku lihat di dalam hati hamba-Ku terdapat cinta yang suci pada-Ku tidak bercampur oleh sesuatu tamak, keinginan-keinginan yang berkenaan dengan Akhirat dan dunia maka ia akan Kuperlakukan sebagai penjaga cintanya itu.
Orang-orang yang benar-benar taat ialah orang yang hatinya cinta kepada Allah. Cinta sucinya akan membuatkan dia beramal semata-mata untuk Allah. Tidak bercampur dengan niat untuk untung dunia atau akhirat. Orang begini taatnya kepada Allah adalah taat yang suci. Dia tidak akan ujub dalam taatnya, tidak riak dalam taatnya, tidak buruk sangka dalam taatnya, tidak sombong dalam taatnya, tidak panjang angan-angan dalam taatnya, tidak rasa tuan dalam taatnya dan lain-lain.


Inilah orang yang dekat hatinya kepada Allah. Dia taat dalam taatnya. Jasad lahirnya dan jasad batinnya sama-sama tunduk menyembah Allah dengan taat, rasa hina diri, malu, rasa bersalah, rasa berdosa dengan Allah, tidak menghina hamba-hamba yang lain, tidak sombong dan tidak hasad. Ibadah-ibadahnya yang lahir (membuat yang fardhu dan sunat dan meninggalkan yang haram, syubahat dan makruh) dan ibadah batin itu betul-betul dilakukan sebagai satu persembahan yang sepatutnya dari seorang hamba kepada Tuhannya. Dia tidak mengharap apa-apa balasan di dunia dan di akhirat. Inilah sebenar-benarnya hamba Allah yang menjadi kecintaan Allah di akhirat nanti.


Firman Allah dalam surah Al Waaqiah:

Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). Dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang sentiasa mengalir. Dan buah-buahan yang lebat. Yang tidak bermusim (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya. Dan tilam-tilam yang tersedia di atas katil. Sesungguhnya Kami menciptakan untuk mereka (bidadari-bidadari) ciptaan yang unik (tidak beranak). Dan Kami jadikan mereka muda-muda belaka. Saling mencintai dan sebaya umurnya. Untuk golongan kanan (terdapat dua kumpulan). (Iaitu) kumpulan besar dari orang-orang yang terdahulu. Dan kumpulan besar dari orang-orang yang kemudian.   (Al Waaqiah: 27 -40)


Ada pula segolongan manusia yang taat dalam derhaka. Ini ialah orang yang tidak kuat beramal dengan syariat lahir disebabkan tidak kuatnya melawan hawa nafsu dan syaitan. Mereka hanya dapat membuat yang fardhu dan meninggalkan yang haram tetapi sunat-sunat Fadhoil-ul-A’mal sangatlah kurang. Dan kerana kekurangan ini mereka sentiasa merasa kekurangan diri, hina diri dan rasa bersalah, berdosa, mengharap amal yang sedikit itu diterima Allah, malu dan takut dengan Allah.


Mereka selalu menyesali diri yang tidak kuat melawan hawa nafsu dan rasa berdosa, rasa tidak sempurna khidmat sentiasa ada di hati mereka dan minta dikasihani oleh Allah. Sebab itu mereka selalu beristighfar. Golongan ini sebenarnya golongan yang taat. Mereka taat dalam derhaka. Mereka akan selamat di dunia dan di akhirat.


Bandingan mereka ialah seperti seorang pekerja istana raja yang tidak begitu rajin. Kerjanya setakat cukup, tidak lebih, kadang-kadang tersilap pula, cuai, sepatutnya dua jam, dibuat hanya satu jam. Kerana itu dia rasa bersalah, rasa kurang, tidak besar diri, tidak fikir lagi kesalahan orang, takut sesama kawan apalagi raja.


Dia bimbang kalau-kalau kekurangannya mendatangkan kemurkaan pada raja. Sebab itu bukan sahaja dengan raja dia sangat bersopan malah dia tidak berani pandai-pandai dalam istana, gerak-gerinya dijaga dalam bimbang dan sentiasa mengharapkan kemaafan dan keampunan raja. Raja menyedari keadaan ini, dengan sebab itu raja memaafkan kekurangan hambanya itu dan hamba itu akan tetap diterima sebagai hamba di dalam istananya. Begitulah kalau hamba Allah yang sentiasa sedar diri dan insaf kelemahannya, sentiasa taubat, takut, malu dan rasa hina diri pada Allah dan berakhlak pula sesama manusia. Dia akan mendapat keampunan dan syurga Allah di Akhirat nanti.


Firman Allah:

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh maka mereka akan masuk syurga dan tidak dianiaya sedikit pun.  (Mariam: 60)


Hidup kita ialah untuk menghambakan diri pada Allah. Itulah jalan keselamatan seorang manusia. Dua puluh empat jam kita mesti beribadah pada Allah, lahir dan batin. Firman Allah:

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku. (Adz Dzaariyat: 56)


Mungkin ibadah lahir ada juga rehatnya tetapi ibadah batin iaitu hati kita, mesti beramal terus menerus. Mesti sentiasa mengekalkan rasa kehambaan pada Allah, rasa hina, rasa malu, rendah diri, takut, bimbang, ingin berkhidmat, rasa berdosa, rasa lemah dan rasa kurang. Perasaan-perasaan (zauk) ini hendaklah kita adakan dalam hati sepanjang masa.


Bagi kita orang awam ini mungkin rasa itu belum ada di hati maka hendaklah kita mengusahakannya yakni dengan memikirkan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah. Lihatlah dan fikirkan tanda-tanda kebesaran Allah pada alam. Dari situ datanglah perasaan kehambaan kita itu. Pada peringkat awal perlu dipaksa-paksa supaya perasaan itu ada. Bagi orang yang telah bersih hatinya mereka tidak payah memikirkannya lagi. Perasaan itu sedia ada dan sentiasa ada dalam hati mereka. Bukan sahaja waktu sembahyang, waktu membaca Quran, berpuasa, waktu berzikir dan lain-lainnya, malah di waktu berkhidmat di luar ibadah, hati mereka tetap kepada Allah SWT.


Pendek kata perasaan kehambaan itu telah benar-benar dihayati oleh lahir dan batin mereka sepanjang masa. Macamlah seorang pekerja istana hatinya sentiasa terisi dengan perasaan kehambaan sama ada ketika dia bekerja atau ketika dia berehat-rehat, waktu makan, minum dan waktu tidur. Bukannya waktu kerja dia merasa dia “kuli”, tetapi waktu rehat dia rasa dia tuan dan berlagak macam tuan.


Orang yang kenal Allah akan benar-benar merasa dia hamba Allah. Hatinya tidak merasa dia lebih, dia pandai, dia hebat, dia besar, dia kuat, dia segala-galanya. Sebab kalau dia pandai pun dia tetap hamba, dia rasa dia hamba, ingin berkhidmat sebagai hamba, hidupnya seperti hamba dan bergaya sebagai hamba. Hamba kepada Allah, bekerja untuk Allah, mengabdikan diri kepada Allah, berjuang membela agama Allah, berkorban untuk Allah dan berperang kerana Allah dan rela mati kerana Allah.


Sesiapa sahaja musuh Allah adalah musuhnya, akan ditentang sehebat-hebatnya. Dan sesiapa sahaja “orang-orang Allah” adalah orang-orangnya maka digauli penuh mesra dan kasih sayang. Inilah jiwa yang merdeka bebas dari ikatan dunia. Jiwa yang tidak akan diperhambakan oleh dunia kerana jiwanya diserah bulat-bulat pada Allah. Banyak berlaku di kalangan kita, mereka yang merasa hamba Allah ketika waktu beribadah, sembahyang, puasa, waktu mengerjakan haji, atau waktu membaca Quran, berwirid dan zikir sahaja.


Di luar dari waktu itu, waktu makan, waktu tidur, waktu membasuh, waktu menyapu halaman dan lain-lain, tidak rasa diri sebagai hamba. Kita rasa itu urusan kita, kejayaan kita adalah untuk kita dan kerana kita. Kita perturutkan selera kita, pendapat kita dan cara kita dalam melaksanakannya. Kita tidak rasa kita berkhidmat untuk dan kerana Allah lagi. Kita tidak terasa hubungan dengan Allah lagi, kita tidak rasa malu dengan Allah dan hina diri lagi. Mungkin kalau ditanya orang, kita akan menjawab kita bekerja untuk Allah tetapi itu akal, hakikatnya hati kita tidak merasa begitu. Perasaan kita bukan begitu (zauk tidak begitu).


Hati rasa tuan, rasa kita punya, kuasa kita, kejayaan kita, kelebihan kita dan kerana kita. Sebab itu kita ikut selera kita dalam tindakan hingga membelakangkan peraturan hidup dari Tuhan. Orang begini sebenarnya bukan menghambakan diri pada Allah, dan tidak bertuhankan Allah. Dia bertuhankan hawa nafsu dan menghambakan diri untuk nafsu.




S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T.



Sumber : http://www.usahataqwa.com/taqwa/derhaka-dalam-taat.html

20120330

KISAH CHINTA TERAGUNG

Anda suka baca kisah cinta? Romeo and Juliet misalnya atau kisah cinta Shah Jahan dan isterinya Mumtaz. Shah Jahan begitu menyintai isterinya hingga beliau berjanji membina mahligai indah sebagai bukti kasih mereka. Akhirnya terbinalah istana Taj Mahal (yg diambil sempena nama isterinya), menjadi salah satu monumen paling ramai dikunjungi manusia. Hari ini ada pasangan yg baru berkawin melawat Taj Mahal sebagai simbol penyatuan cinta mereka.

Sebenarnya ada lagi kisah cinta paling hebat di dunia ini iaitu kisah cinta baginda Nabi kita Nabi Muhammad s.a.w dan isterinya Khadijah r.h.a. Semua orang tahu, Khadijah r.h.a meminang Rasulullah s.a.w kerana terpesona dengan akhlaknya.

Bayangkan bagaimana tingginya akhlak nabi S.A.W. hingga mampu 'mencairkan' hati seorang wanita ahli perniagaan, dari keturunan bangsawan lagi hartawan sedang nabi S.A.W. hanyalah seorang anak muda yang miskin, yatim piatu dan keseorangan. Di zaman ini, mana mungkin ahli perniagaan ternama lagi berusia jatuh cinta pada pemuda biasa yang tak punya apa-apa. Kalaupun ada, orang mungkin berkata, dia gila atau terkena 'ubat guna-guna'.

Perbezaan usia antara mereka bukanlah halangan untuk mereka membina rumahtangga bahagia. Rasulullah s.a.w tidak pernah menikahi mana-mana wanita sepanjang bersama Khadijah.

Cinta dan kasih sayang mereka melimpah ruah hingga Khadijah menyerahkan seluruh jiwa, tenaga, harta dan keluarga demi membantu kekasihnya menegakkan agama.

Khadijah menjaga nabi S.A.W. dengan penuh kasih sayang, belaian dan sentuhan yang mendamaikan. Dia mententeramkan jiwa kekasihnya ketika nabi S.A.W. ketakutan selepas didatangi Jibril. Dia menuturkan kata-kata lembut tapi penuh semangat lagi menghiburkan. Dialah wanita yang selalu ada di sisi nabi S.A.W. di saat semua orang membencinya.

Mulianya wanita bernama Khadijah ini hingga nabi S.A.W. tak pernah melihat sesuatu yg menyedihkan darinya. Cinta dan kasih antara dua insan mulia ini begitu utuh hingga Khadijah tak pernah menyangkal atau mendustakan mahupun merendahkan apa yg disampaikan nabi S.A.W.

Kasih Rasulullah s.a.w terhadap Khadijah begitu mendalam. Baginda S.A.W. sentiasa menyebut kebaikan Khadijah hatta selepas kewafatannya hingga dicemburui Aisyah. Kata Aisyah:

"Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah s.a.w sebagaimana aku cemburu terhadap Khadijah walhal aku tidak pernah melihatnya.Tetapi Rasulullah S.A.W. selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakala menyembelih kambing lalu diberikan kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan aku pernah berkata ; bukan kah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah telah memberimu penganti yang lebih baik, isteri yang lebih muda dan baik darinya? 


 Rasulullah s.a.w menjawab; Tidak! Demi Allah! Dia tidak memberikan seorang pengganti yg lebih baik darinya. Khadijah telah beriman kepadaku disaat orang lain mengingkariku. Dia membenarkan aku ketika orang lain mendustakanku. Khadijah membantuku dengan menginfakkan seluruh hartanya ketika orang lain menahan harta dariku dan Allah mengurniakan beberapa zuriatku dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain " [H.R. Ahmad]

Kewafatan Khadijah meninggalkan kesedihan yang begitu mendalam di jiwa nabi S.A.W. hingga tahun tersebut dikenali dengan tahun kesedihan. Sekalipun selepas kewafatannya, nabi S.A.W. selalu mengenang saat-saat indah bersama Khadijah r.h.a. Mulianya Khadijah hingga Allah mengirim salam kepadanya dan menjanjikan sebuah istana di syurga.

Di saat-saat akhir kewafatannya, ketika dipangkuan nabi S.A.W., masih sempat beliau meminta nabi S.A.W. menggunakan tulang belulangnya untuk agama Allah. Inilah bukti kecintaan yg tidak berbelah bagi.

Takala anda menangis ketika membaca sebuah novel cinta atau menonton telenovela, menangislah ketika menghayati perjalanan cinta seorang isteri yang mengorbankan segala kesenangan, kemewahan dan kemegahan demi membantu kekasihnya di jalan Allah. Isteri yang setia, patuh dan selalu berbuat baik terhadap suaminya hingga pemergiannya ditangisi dan dirindui selamanya. Kerana cinta mereka, legasi Muhammad berkembang ke seluruh dunia.


S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T


 

 

Sumber : Fikir Amal

20120328

Untukmu Ibu


 “Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ker kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?” Marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun.


 “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah 2 kali kau ulang ambik SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang ha?” Leter ibu lagi. Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya.

 Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu?Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakal hal sebenar.
Si ibu semakin bengang.

 “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan yer!? Nanti kau, suka sangat cari penyakit kan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.

 “Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. “Tau sakit yer, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulannya menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!” Jelas Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih.

 Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf dari ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

 Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya.

 Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikitpun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi.

 Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along berbaring. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu.

 Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walau kasih ibu tidak semekar dahulu lagi.

 
 Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.


 
 * * *

 Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang dari mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.

 “ Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri yer!?” Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya.

 “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggu lah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu yer!” Si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along.

 “Kak Ngah dengan Alang nak balik ker ibu?” Soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?” Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya.

 “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!” Terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..” Soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalitpun pada ibu yang sangat disayanginya.

 “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas.” Arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Kerana itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

 Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada spasang jubah putih berbunga ungu yang dilengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri.

 Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa -rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ker, apa kau buat kat sini?” Tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?” Soalnya pula. “Aku tak der buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!” Jelas Along jujur.

 “waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macam mana?” Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. “Betul ker ni Riz? Nanti marah kakak kau!” Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!” Balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepastu kau bayar sikit-sikit.” Kata Fariz .Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi.

 “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?” Soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitan yang semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak per lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!” Pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

 Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor 7. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi.

 Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisal auk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. “Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?” Soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya dari menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!” Leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

 Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along. Kalau tak suka belajar, berenti jer la. Buat jer kerja lain yang berfaedah dari menghabiskan duit ibu.” Sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka.

 Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya. Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok.

 Seperti yang dinekadkan, pagi itu, selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap. Dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar dari rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu.

 Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal. Dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu.

 Hari ini hari ke empat Along keluar dari rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiapkali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

 Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!” Soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?” Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air.

 “Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. “Ada” jawab Along pendek “Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku…atau….”

 Along menggeleng-gelengkan kepala. “semua tak…Cuma 1 jer, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. “Ala, gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!” Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe.

 Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah. Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi.

 “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni.” Ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak.

 “Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi. “Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?” Soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak yer! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

 * * *

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana, tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. “Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ker?” Soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ker?" Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak per lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni.” Terang Along dengan tenang.

 “Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah.” Kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku taknak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.

 “Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!” Pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ker?” Soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia.” Terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!” Jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk .

 “Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?” “Bukan. Minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan jer?” Soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni jer yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.

 Along keluar dari kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak dari melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak.
 
Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut dari kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu.

 Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang –orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya.
Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan dari ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan k ad yang masih digenggamannya itu.

 “Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

 * * *

 Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…..UNTUKMU IBU!’


Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.

 “Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik.
 
 
“Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu. Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka..



S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T.



Sumber : Mencari Redha Ilahi


20120324

Hakikat - Betulkah Wujud Cinta Islamik?


Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan apabila mereka dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan dalam islam. Antara ayat-ayat yang sering kali diungkapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah :

 

‘ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..
saya cintakan awak kerana Allah..’
‘Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..’


Firman Allah S.W.T:
“Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Israa’: 32)

Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber’couple’ sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.


‘macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!’
‘kalau minta ‘break’, nanti dia sanggup tunggu aku ke?’
‘tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun ‘couple’
‘kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..’


Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.
Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100% tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.


 
Firman Allah di dalam Surah An-Nur:
“dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” (Al-Nur 24 :26)


Ya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi ‘realiti kehidupan’ ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa” (Al-Furqan 25:74″)

Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.


Nota Chinta :
Cinta Islamik atau Islamic Love hanya wujud selepas nikah jer
Bercinta lepas nikah lebih indah dan berkat(orang kata dan memang pun)
jangan ber”couple ” sebelum nikah nanti dah nikah dah bosan untuk couple..






S.E.M.O.G.A. .B.E.R.M.A.N.F.A.A.T


Sumber: http://www.ilmi-islam.com/